Aduan

Ugutan sihir penipu

Kuala Lumpur: Sebelum ini mereka menghilangkan diri atau memadam akaun media sosial dan menghentikan sebarang komunikasi dengan mangsa.

Namun yang terbaru, sindiket Love Scam dikesan mengugut untuk menghantar ‘hadiah’ berbentuk sihir atau ilmu hitam sekiranya mangsa masih menghantar mesej meminta semula wang mereka atau menuntut janji untuk berkahwin.

Mendakwa mereka mempunyai ilmu hitam yang boleh ditujukan kepada sesiapa saja, ‘scammer’ juga bertindak menunjukkan gambar-gambar upacara ritual bertujuan menakut-nakutkan mangsa.

Taktik terbaru itu didedahkan Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) yang menerima aduan daripada beberapa mangsa, baru-baru ini.

Presidennya Siraj Jalil berkata, taktik menggunakan ilmu hitam sebagai alasan bagi mengelak terus diganggu mangsa adalah yang terbaru diterima pihaknya berbanding sebelum ini di mana scammer terus menghilangkan diri tanpa dapat dikesan.

“Modus operandinya sama. Mereka mengumpan mangsa melalui media sosial, bercinta dalam talian dan kemudian mula berkongsi cerita sedih.

“Ada yang mendakwa kerugian dalam perniagaan, ada yang kata nak guna duit untuk pelaburan yang sangat menguntungkan dan macam-macam lagi, sedangkan tujuan mereka hanya satu iaitu mengaut untung mudah,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang sudah memberikan sejumlah besar wang, akan takut selepas diugut akan disihir berdasarkan gambar yang dikongsi di dalam kiriman mesej.

Katanya, berdasarkan pemerhatian pihaknya, golongan penipu itu dipercayai berasal dari negara jiran berdasarkan akaun bank yang digunakan untuk menerima wang daripada mangsa.

“Setakat ini, nilai kerugian membabitkan beberapa mangsa berjumlah hampir RM10,000 dan saya percaya lebih ramai yang belum tampil membuat laporan kerana malu atau takut dengan ugutan.

“Pemantauan MCCA di media sosial juga mendapati, terdapat banyak hantaran mengenai ilmu hitam di media sosial sejak kebelakangan ini dan kita menggesa pihak berkuasa melakukan sesuatu bagi mengatasinya,” katanya.

Kahwin tak dapat, duit pula melayang

Kuala Lumpur: Seorang wanita tidak menyangka perkenalannya dengan seorang lelaki di laman sosial Facebook dalam tempoh beberapa bulan lalu meninggalkan detik hitam dalam hidupnya.

Ini kerana harapan untuk mendirikan rumah tangga bersama kekasih mayanya itu bukan saja tidak kesampaian malah dia kerugian RM5,000 dan diugut akan disihir oleh lelaki terbabit.

Rosmin, 30-an, berkata dia mengenali lelaki berkenaan ketika sedang melayari Facebook sebelum mereka kemudiannya menjadi rakan media sosial.

Katanya, pada awalnya lelaki itu hanya berhubung seperti biasa dan hanya bertanya khabar namun selepas beberapa minggu, dia mula bercerita mengenai kesusahan hidup.

“Dia mengakui mempunyai seorang anak yang perlukan rawatan segera dan memerlukan wang kira-kira RM6,000. Dia memberikan alasan perlu berkahwin jika ingin menamatkan kontrak kerja selama lima tahun.

“Sepanjang berkenalan, saya pindahkan wang ke akaun bank diberikan sebanyak lima kali dan selepas itu saya menerima mesej yang dia ditangkap pihak berkuasa di negara jiran,” katanya.

Rosmin berkata, menyedari dirinya ditipu, dia meminta supaya semua wangnya dikembalikan namun mula diugut dengan ancaman ilmu hitam kepada dirinya dan keluarga.

Katanya, lelaki itu turut mengirimkannya gambar peralatan yang akan digunakan sekiranya dia berterusan menghantar mesej untuk meminta wangnya semula.

“Saya jadi takut kerana dia mengancam saya dan keluarga. Saya menyesal kerana berkenalan dengan orang seperti itu yang hanya mengambil kesempatan ke atas wanita,” katanya.

Sindiket sasar mangsa wanita

Kuala Lumpur: Sindiket Love Scam menyasarkan wanita sebagai sasaran utama apabila jumlah mangsa di kalangan mereka lebih tinggi berbanding mangsa lelaki.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, seramai 3,690 wanita dilaporkan menjadi mangsa sindiket berkenaan bagi tempoh 2019 hingga Oktober 2021.

Menurutnya, keadaan itu berbeza apabila hanya 703 mangsa terdiri daripada lelaki dalam tempoh sama.

“Pada 2019, seramai 1,534 individu dilaporkan menjadi mangsa jenayah Love Scam dan daripada jumlah itu, 1,268 mangsa adalah wanita, manakala 266 lagi mangsa adalah lelaki.

“Pada tahun lalu pula, seramai 1,582 mangsa dilaporkan dengan 1,367 mangsa adalah wanita manakala seramai 215 individu terdiri daripada lelaki.

“Bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu, terdapat seramai 1,277 mangsa kes terbabit di mana 1,055 mangsa terdiri wanita, manakala 222 lagi adalah lelaki,” katanya kepada Harian Metro.

Mohd Kamarudin berkata, pihaknya menerima 4,393 laporan berkaitan sindiket Love Scam membabitkan kerugian lebih RM181 juta di seluruh negara bagi tempoh 2019 hingga Oktober lalu.

“Sebagai langkah untuk membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa, kami sentiasa melaksanakan serbuan dan tangkapan terhadap sindiket berkaitan Love Scam.

“Dalam tempoh itu, kami melakukan 3,213 tangkapan dengan 2,031 pertuduhan dilakukan,” katanya.

Katanya, modus operandi sindiket itu adalah berkenalan di media sosial seperti Facebook, Instagram, WhatApps dan lain-lain dengan komunikasi dibuat menerusi sama ada panggilan telefon atau e-mel.

“Selepas meraih kepercayaan mangsa, suspek akan memaklumkan kononnya mahu menghantar ‘parcel’ (bungkusan) kepada mangsa yang didakwa sebagai hadiah.

“Mangsa kemudian akan dihubungi oleh ahli sindiket yang lain dan akan diarahkan memasukkan sejumlah wang atas pelbagai alasan bagi menuntut parcel terbabit.

“Selain penghantaran parcel, suspek juga akan meminjam wang mangsa dengan menggunakan pelbagai alasan dan semua akaun bank yang digunakan membabitkan mangsa keldai akaun,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan kenalan alam maya baru yang mahu menjalinkan persahabatan atau percintaan di media sosial terutama yang menjanjikan hadiah sebagai tanda kasih sayang.

Menurutnya, taktik berkenaan sebenarnya mahu mengaburi mangsa sebelum menyerahkan wang yang akhirnya merugikan mereka.

“Kawal kendiri supaya tidak mudah untuk mempercayai orang asing yang baru dikenali dan sentiasa mewujudkan perasaan syak wasangka ke atas orang tidak dikenali agar tidak mudah terjerat dengan taktik licik penipuan Love Scam.

“Jangan mudah terpedaya dengan sebarang panggilan telefon atau mesej yang didakwa kononnya daripada pihak berkuasa atau syarikat kurier yang menyatakan ada parcel memerlukan pembayaran bagi membolehkan barangan itu dihantar,” katanya.

Katanya, jangan sesekali membenarkan akaun bank digunakan oleh orang lain atau menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM) kepada pihak lain untuk digunakan bagi apa sahaja urusan.

“Jangan dedahkan maklumat peribadi perbankan seperti nombor akaun, nombor pin dan nombor TAC kepada orang lain bagi mengelak ia disalah guna sebagai keldai akaun.

“Buat pengesahan nombor akaun bank dan nombor telefon terlebih dahulu melalui portal http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti sama ada akaun bank dan nombor telefon itu pernah terbabit dalam kes penipuan atau sebaliknya sebelum membuat sebarang transaksi bayaran.

“Hubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 selain WhatsApp ke CCID Infoline di talian 013-2111222 untuk menyalurkan maklumat dan aktiviti jenayah komersial yang berlaku di persekitaran anda,” katanya.

Sumber.