Aduan

Bawa lari RM500,000

Kuala Lumpur: Hampir 150 pembeli pratempahan konsol permainan PlayStation 5 (PS5) kerugian kira-kira RM500,000 selepas diperdaya individu yang membina reputasi sebagai ‘penjual dipercayai’ atau trusted seller sebelum melarikan diri bersama wang berkenaan.

Pada masa sama, penjual terbabit turut memiliki syarikat didaftarkan atas namanya bagi menambah keyakinan pelanggan.

Wartawan Metro Ahad turut melakukan semakan terhadap nombor daftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang dikaitkan dengan penjual berkenaan.

Hasilnya, sijil daftar perniagaan itu dimiliki oleh seorang lelaki berusia 23 tahun dengan alamat daftar di Pulau Pinang.

Ketika mendedahkan perkara itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, pihaknya ada menerima beberapa aduan berhubung perkara berkenaan.

“Terbaharu, ia membabitkan pratempahan konsol permainan PS5 membabitkan hampir 150 mangsa dengan jumlah kerugian kira-kira RM500,000.

“Sebelum ini, kami juga menerima kes membabitkan penipuan yang menggunakan taktik sama selain jumlah kerugian juga besar,” katanya.

Menurut Siraj, pada peringkat awal, penjual terbabit akan membina reputasi sebagai penjual yang dipercayai.

Ia dilakukan menerusi kejayaan menghantar sejumlah besar tempahan kepada pembeli.

“Ia sekali gus mewujudkan sistem vouch atau pembeli berkenaan menjamin penjual itu adalah penjual yang boleh dipercayai.

“Kita sedia maklum, sistem vouch ini hanya bersifat kepercayaan secara lisan. Masih banyak lompong dalam kaedah untuk mengiktiraf seseorang itu penjual dipercayai terutamanya apabila membabitkan jumlah amaun yang besar, namun ia tetap diguna pakai,” katanya.

Siraj berkata, pengguna atau pembeli perlu lebih bijak serta berwaspada ketika menggunakan kaedah vouch ini kerana tiada jaminan seseorang penjual itu memenuhi setiap transaksi yang dilakukan.

“Pada pandangan saya, jika sistem vouch ini digunakan untuk nilai barangan yang kecil, ia boleh diterima. Tetapi jika membabitkan amaun besar, pembeli perlu berfikir secara logik.

“Jika kita lihat kes pembelian pratempahan PS5 ini, agak mustahil untuk penjual tunggal mendapatkan stok konsol berkenaan dalam jumlah yang besar sedangkan penjual rasmi tidak mendapat stok yang banyak,” katanya.

Sumber.