Aduan

Tindakan tegas isu lesen terbang

Kuala Lumpur: Mana-mana pihak yang terbabit aktiviti menjual lesen memandu secara haram atau lesen terbang akan dikenakan hukuman setimpal, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, aktiviti menjual lesen memandu secara haram dengan menerima wang sogokan biarpun tidak melepasi ujian yang ditetapkan di Institut Memandu (IM) adalah perkara serius yang tidak boleh dipandang ringan.

“Saya mengambil maklum dan memandang serius berhubung isu lesen terbang yang tular di media sosial.

“Sedia maklum, ujian yang ditetapkan oleh IM adalah prosedur penting untuk dipatuhi, bukan sahaja untuk mendedahkan tentang peraturan jalan raya, tetapi juga bertujuan mendapat kefahaman jelas mengenai keselamatan jalan raya sebelum dibenarkan memiliki lesen memandu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, pihaknya menerima rungutan daripada orang ramai mengenai lambakan iklan lesen tanpa ujian di media sosial.

Beliau berkata, perkara itu sudah dipanjangkan kepada pihak berwajib bagi memastikan tindakan diambil kepada mereka yang terbabit.

Menurutnya, isu berkenaan dikesan beberapa tahun lalu dan dikategorikan sebagai iklan palsu.

“Ada dua pendapat, ada yang minta supaya berhati-hati dengan sindiket ini.

“Jika wujud, kita minta pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan tegas dan menyiasat apakah ada pembabitan orang dalam.

“MCCA merasakan perlu ada task force (pasukan khas) untuk memantau perkara ini di media sosial kerana ada rungutan dan iklan boleh dilihat secara terbuka, jangan tunggu sampai ada mangsa,” katanya.

Sumber.