Evolusi kenderaan sudah berlaku dengan pengenalan kepada sistem permotoran hibrid sehingga kepada janaan kenderaan elektrik atau ‘EV’, namun persoalannya adalah cukup bersediakah infrastruktur negara dalam mendorong pembelian kenderaan jenis EV ini.
Malaysia sedang menuju kepada status negara maju tidak lama lagi namun halangan utama adalah tahap mentaliti segelintir masyarakat yang dilihat tidak seiring dengan kemajuan teknologi hari ini.
Tidak dapat dinafikan bahawa usaha untuk pemerkasaan infrastruktur EV di negara ini sedang giat dilaksanakan bagaimanapun ia masih dilihat kurang, akibatnya, ia gagal mendorong permintaan pembeli yang tinggi untuk sistem kenderaan jenis itu.
Menerusi Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon atau ‘LCMB’ 2021-2030, kerajaan dilaporkan merancang untuk mewujudkan 10,000 stresen pengecas untuk kenderaan elektrik di seluruh negara menjelang 2025.
Dalam satu laporan media menyatakan bahawa sehingga suku pertama tahun ini, terdapat kira-kira 600 stesen pengecas EV saja ditubuhkan dengan kerjasama beberapa pihak tertentu.
Jumlah berkenaan sememangnya rendah dan pastinya stesen pengecas itu banyak tertumpu di bandar utama.
Selain daripada pemerkasaan infrastruktur stesen pengecas EV ini, perkara lain yang perlu difikirkan adalah tahap mentaliti pengguna di negara ini.
Pastinya ramai dalam kalangan kita semua pernah melihat bahawa stesen dikhaskan atau ‘designated parking areas’ di pusat beli belah yang mengkhususkan kepada kenderaan jenis EV, namun kenderaan yang diparkir adalah kenderaan konvensional.
Ia mungkin nampak remeh, namun ini membabitkan mentaliti dan corak pemikiran segelintir masyarakat kita.
Untuk itu, diharapkan bahawa kerajaan terus mempergiatkan lagi usaha untuk membangunkan infrastruktur EV khususnya stesen pengecas di bandar utama selain di sub-bandar yang tidak kurang pentingnya.
Pada masa sama, semua pihak perlu memikirkan kaedah untuk mengurangkan harga kenderaan EV yang masih dilihat pada tahap ‘kayangan’ ketika ini.