Aduan

Peralihan sistem OTP kepada sistem keselamatan lebih kukuh

Masalah kehilangan wang di dalam bank sudah menjadi isu hangat malah wujud dalam kalangan pengguna yang mendakwa kehilangan wang tanpa menerima sebarang ‘One Time Password’ atau OTP kepada nombor telefon berdaftar.

Ia sekali gus mewujudkan satu persoalan besar tentang sejauh mana keberkesanan OTP dalam ‘mengesahkan’ sesuatu transaksi dan ia transaksi yang dibuat dengan kerelaan pengguna tanpa campur tangan pihak ketiga.

Terbaharu, Gabenor Bank Negara Malaysia mengumumkan beberapa langkah untuk diambil bank bagi membanteras masalah scam termasuklah peralihan daripada OTP atau TAC melalui SMS.

Dalam acara Majlis Pelancaran Pameran Maya Jenayah Kewangan, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, BNM meminta institusi kewangan beralih  daripada penghantaran kata laluan sekali sahaja (OTP) melalui sistem pesanan ringkas atau SMS kepada kaedah pengesahan yang lebih kukuh.

Peralihan ini melibatkan transaksi dalam talian yang berkaitan dengan pembukaan akaun, pemindahan wang dan pembayaran serta pertukaran maklumat peribadi dan penetapan akaun.

Mulai Mac lalu lagi, Maybank sudah tidak menghantar OTP melalui SMS pemindahan wang dan ia hanya diberikan melalui Secure2U di MAE dan Maybank2U.