Aduan

Aduan rangkaian telekomunikasi menurun 66 peratus Q2 2022 – JENDELA

Aduan berhubung masalah atau gangguan rangkaian telekomunikasi menurun sebanyak 66 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

  Berdasarkan kepada laporan Suku Kedua JENDELA 2022 menyatakan bahawa dari bulan Januari hingga Jun lalu, sebanyak 40,863 aduan berkaitan rangkaian dibuat oleh pengguna.

  Jumlah itu berkurangan berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak 121,129 aduan.

  Rekod penurunan paling banyak direkodkan pada bulan Jun iaitu penurunan 88 peratus dengan jumlah aduan hanya 5,542 berbanding tempoh sama 2021 sebanyak 44,972.

  JENDELA memaklumkan, sebanyak 95.82% daripada semua kawasan berpenduduk di Malaysia kini sudah mempunyai akses kepada rangkaian 4G.

  Sehubungan itu, JENDELA menggesa pengguna supaya menaik taraf telefon pintar  yang dimiliki kepada telefon pintar yang menyokong 4G Volte bagi membolehkan pengguna menikmati pengalaman liputan perkhidmatan yang lebih baik.

  Pembinaan pemancar baharu 4G juga melepasi sasaran iaitu sebanyak 57 menara baharu dengan pencapaian 109.6 peratus berbanding perancangan awal iaitu hanya 52 menara saja.