Aduan

Segelintir penerima peranti siswa tidak bersyukur!

Tular di media sosial semalam apabila pemilik peranti siswa yang diberikan oleh kerajaan dijual balik dengan harga sekitar RM700 hingga RM1000.

  Ia sekali gus menimbulkan persoalan tentang kewajaran pemberian tablet berkenaan kerana disifatkan pelajar yang menjual peranti ini ‘tidak bersyukur’ dengan pemberian daripada kerajaan.

  Terdapat juga komen netizen yang menyatakan bahawa jika tidak mahu peranti berkenaan, mengapa perlu menerimanya sedangkan ada lagi golongan pelajar memerlukan yang tidak terpilih untuk mendapat peranti terbabit.

  Dalam satu hantaran di Facebook, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil turut menzahirkan rasa kecewa dengan tindakan segelintir pelajar berkenaan. 

  Menerusi hantarannya, beliau menyatakan bahawa proses untuk mendapatkan peranti itu untuk diberikan kepada pelajar adalah sangat rumit dan dibahaskan di Parlimen sebelum diluluskan.

  “Bila ada yang tidak faham erti bersyukur dan mengambil hak orang lain. Adik-adik pelajar tahu tidak, untuk dapatkan peranti ini, ahli Parlimen berbahas dan bersoal jawab antara satu sama lain, pihak kementerian yang bertanggungjawab menjalankan proses tender yang panjang untuk dapatkan, kerajaan gunakan duit cukai orang ramai untuk buat peruntukkan, alih-alih, ko jual macam tu je dik. 

  “Kepada yang belum jual tu, tapi rasa tak perlu, eloklah pulangkan semula kepada kerajaan atau sedekahkan kepada insan lain yang sangat memerlukan, setidaknya, asbab baik untuk orang lain,” tulisnya.

  Berdasarkan pemerhatian juga melihat terdapat ramai penerima peranti itu bertindak menjualnya di Carousell, FB Marketplace dan Mudah.my dengan sekitar RM700 hingga RM1000.

  Sebenarnya, kepada pelajar yang menerima peranti itu, belajarlah erti syukur, tentang kecukupan dan kepayahan orang lain untuk memberikan sedikit kemudahan kepada kita semua. Semoga ada ibrah disebalik peristiwa ini.