Aduan

Platform Jenayah Siber

Artikel Asal Harian Metro: https://www.hmetro.com.my/itmetro/2023/01/921646/sisi-gelap-telegram

Kemunculan pelbagai platform mesej pintar seperti Telegram serta WhatsApp banyak membantu jaringan komunikasi digital pada hari ini.

  Boleh dikatakan setiap individu kini mempunyai ketersambungan hasil daripada kewujudan aplikasi perhubungan digital ini.

  Bukan saja gambar yang boleh dikongsi, sebaliknya video, panggilan video serta suara boleh dilakukan asalkan mempunyai jaringan telekomunikasi yang baik.

  Telegram antara aplikasi komunikasi digital yang mengutamakan kerahsiaan pengguna dan setiap pemilik akaun boleh menyembunyikan nombor telefon mereka.

  Apa yang perlu hanyalah identiti atau nama pengguna akaun saja malah ia boleh ditukar ganti daripada semasa ke semasa tanpa sebarang halangan sekali gus menimbulkan sisi gelap untuk platform berkenaan.

  Secara mudahnya, platform itu adalah himpunan segala jenayah siber daripada kumpulan perkongsian filem terbaharu secara haram sehinggalah pelaburan emas tidak wujud.

  Sebut saja jenayah siber yang wujud bermula daripada kumpulan pelaburan emas tidak wujud, penyebaran maklumat tidak benar, sebaran filem ‘soft copy’ secara haram sehingga kepada aplikasi pilihan penggodam untuk berkomunikasi.

  Malah, terdapat pelbagai kes penggodaman akaun peribadi yang bertujuan untuk meminta wang kepada rangkaian kenalan individu terbabit.

  Platform berkenaan menjadi pusat tumpuan jenayah siber berikutan sistem maklumat pengguna yang dirahsiakan oleh penyedia Telegram sekali gus sukar untuk melakukan menyekat penjejakan nombor telefon dilakukan.

  Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Datuk Ahmad Noordin Ismail berkata, Telegram hanya menggunakan identiti pengguna (ID) tanpa ada sebarang pendedahan nombor telefon.

  “Berdasarkan kepada sistem privasi platform berkenaan, pengguna boleh memilih untuk menyembunyikan nombor telefon daripada kenalan di Telegram dan menyekat pemilik akaun Telegram tertentu daripada mengetahui nombor telefon yang didaftarkan atas satu-satu identiti.

  “ID pengguna di Telegram juga boleh ditukar dengan mudah tanpa perlu sebarang syarat dan tiada istilah ‘satu ID satu nombor telefon’ untuk pengguna di Telegram.

  “Pada masa sama, platform berkenaan menjadi pilihan medium ‘komunikasi rasmi’ untuk penggodam berinteraksi sesama mereka,” katanya semalam.

  Ahmad berkata, banyak insiden jenayah siber bermula daripada grup atau kumpulan di platform berkenaan khususnya tentang pelaburan yang tidak wujud.

  Beliau berkata, pihaknya juga mendapati penyebaran cetakan filem secara haram juga berlaku dalam platform berkenaan secara ‘soft copy’ membabitkan banyak cerita tempatan yang baru saja ditayangkan di layar perak.

  “Memang sukar kerajaan untuk menyekat secara menyeluruh penggunaan aplikasi ini yang berpangkalan di Rusia namun mungkin boleh difikirkan kaedah tertentu untuk mengurangkan risiko berlakunya jenayah siber.

  “Pengguna juga perlu memainkan peranan dengan lebih bijak supaya tidak mudah tertipu dengan sebarang bentuk skim pelaburan di platform maya.

  “Pada pandangan saya, apa yang penting adalah sikap pengguna iaitu jangan mudah tertipu, jangan cepat percaya dan sering mengamalkan prinsip semakan silang tatkala mendapat tahu sesuatu maklumat atau sebarang pelawaan khususnya membabitkan pelaburan wang,” katanya.