Aduan

Celik siber, sekadar pengetahuan atau keperluan?

Kecoh di media sosial berita mengenai sindiket memperdaya ratusan mangsa kononnya boleh mendapatkan berbilion ringgit dengan menyertai pelaburan bernilai RM250 atau RM1,000.

Seringkali kita dihiburkan dengan isu sebegini, pelaburan berjuta ringgit dengan pulangan berpuluh kali ganda sampai terfikir juga, mudahnya buat duit di Malaysia.

Minggu lalu, gempar seorang ibu kutu menipu 2,000 mangsa dengan skim kutu ganti menyebabkan kerugian lebih RM50 juta sejak 2015.

Apa yang menarik ialah, nisbah berita peringatan mengenai wujudnya skim penipuan dengan jumlah mesej kesedaran adalah sama, namun setiap hari ada saja mangsa terkena.

Sebut saja apa jenis media sosial, saban hari ada saja kempen kesedaran sama ada menerusi poster, tulisan, grafik mahu pun video dibuat sama ada oleh NGO, orang perseorangan mahu pun agensi kerajaan semata-mata untuk menyedarkan orang ramai.

Jumlah kerugian pula bukan sedikit, bukan RM1 atau RM2, tetapi keseluruhannya mencecah jutaan ringgit.

Maka apa yang perlu kita lakukan adalah cakna maklumat, sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa, sering ‘curiga’ dengan tawaran yang menjanjikan pulangan berkali ganda.

Jika tidak segala usaha ini akan menjadi sia-sia, malah kita akan terus berdepan situasi penipuan, pemerdayaan ini untuk tahun-tahun mendatang.