Demam Pilihan Raya Umum (PRU) kembali terasa khususnya memasuki fasa berkempen selepas penamaan calon, Sabtu depan.
Pastinya kebanyakan parti-parti bertanding sudah merencanakan strategi khususnya untuk manifesto yang akan menarik pengundi atas pagar.
Bagaimanapun, situasi PRU pada kali ini sedikit berbeza kerana faktor pengundi muda yang menjangkau jumlah hampir separuh daripada daftar pengundi keseluruhannya.
Menekuni perkara berkenaan, mungkin manifesto yang akan menarik perhatian orang muda adalah pengurangan harga atau pakej Internet serta komitmen kerajaan baharu dalam memberi ketersambungan rangkaian tanpa mengira tempat.
Faktor itu menjadi daya penarik kepada pengundi muda ini kerana golongan ini sangat terkait dengan dunia digital, ruang siber dan rangkaian Internet.
Jika ada parti politik yang bertanding menawarkan janji pengurangan harga pakej Internet dan memperluaskan jangkauan telekomunikasi, ia mungkin menjadi daya penarik.
Selain itu, golongan muda atau belia pada hari ini juga lebih menggemari segmen gig ekonomi iaitu bentuk pekerjaan bersifat bebas.
Ini juga antara daya penarik golongan muda tentang penawaran pekerjaan dan tidak lupa tentang kestabilan ekonomi yang akan menjamin keseluruhan manifesto itu dapat dilaksanakan dan bukan janji kosong.
Apapun, sama-sama kita nantikan apakah bentuk janji serta manifesto yang memberi manfaat kepada industri digital di negara ini