Aduan

Perkasakan Ekonomi Digital

Menjelang pembentangan Bajet 2023 yang dijangka akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari atau Mac depan, harapan terarah kepada pemerkasaan ekonomi digital di negara ini.

  Dua tahun lalu, pertumbuhan ekonomi digital meraih momentum yang sangat baik dengan pendapatan e-dagang meningkat kepada USD190 bilion iaitu peningkatan 23 peratus.

  Dorongan serta galakan khusus daripada kerajaan pastinya akan membaik prestasi berkenaan malah menjadikan ekonomi digital sebagai ‘niche’ dalam aspek ekonomi negara.

  Berdasarkan rekod, pada 2020, ekonomi digital negara membentuk 22 peratus daripada KDNK negara dan ia dijangka mewujudkan kira-kira 500,000 peluang pekerjaan menjelang 2025.

  Pakej rangsangan atau dorongan kerajaan ini boleh berbentuk geran serta bantuan yang memberi faedah kepada pemain segmen ekonomi berkenaan termasuk perluasan e-pembayaran.

  Pada tahun lalu, Menteri Kewangan (ketika itu) Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menyatakan bahawa Malaysia menyaksikan penyelesaian pembayaran digital negara berkembang dengan ketara tahun lalu iaitu mencatatkan peningkatan 664 peratus dalam pendaftaran peniaga.

  “Institusi kewangan, terutamanya daripada sektor swasta juga menyokong kerajaan agar meningkatkan pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melangkaui daripada pembiayaan kepada penyelesaian terbuka dengan mendigitasikan sepenuhnya operasi PKS.

  “Ia satu pembaziran sekiranya apa yang kita dapat daripada pendigitalan hanyalah cara yang mudah untuk mengurusniaga barangan dan perkhidmatan,” katanya.

  Tengku Zafrul juga berkata walaupun tidak ada negara yang tidak terkesan dengan pandemik COVID-19, kemajuan dalam kesediaan digital dan impak meluas teknologi telah membolehkan Malaysia menangani dengan lebih baik lagi kesan getir daripada sekatan pergerakan penuh dan mengelakkan kesan lebih mendalam terhadap ekonomi.

  “Walaupun banyak perniagaan fizikal mengalami jualan yang terhad semasa tempoh awal sekatan pergerakan, namun teknologi telah membolehkan aktiviti dilakukan menerusi dalam talian seperti yang dilihat dalam pelbagai industri seperti membeli belah barang runcit manakala aktiviti penghantaran makanan melonjak dengan ketara,” katanya sambil menambah pendek kata pendigitalan telah menjadi suatu yang kritikal dalam mengukuhkan daya tahan ekonomi kita.

  Bagaimanapun, beliau berkata masih banyak ruang untuk pembangunan dan kerajaan kekal komited untuk meneruskan pendigitalan ekonomi dan menyatakan Malaysia telaj melancarkan pelan tindakan ekonomi digital untuk memperkasakan rakyat Malaysia dalam segenap lapisan masyarakat dengan celik digital, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, pendidikan teknologi kewangan, penjagaan kesihatan dan banyak lagi.

  Rangka tindakan yang merupakan pelan jangka panjang sehingga tahun 2030 itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa yang akan merangkumi pelaburan dalam rangka kerja digital, aktiviti pengukuhan telekomunikasi, melancarkan 5G di seluruh negara, mengukuhkan penyedia perkhidmatan teknologi awan dengan kesemuanya berjumlah AS$15 bilion.

  Ini jelas memperlihatkan bahawa pemerkasaan ekonomi digital mampu memberi pertumbuhan ekonomi yang lebih baik untuk negara dan diharap pada bajet kali ini, kerajaan memberi fokus yang lebih serius dalam soal ini.