Sungai Petani: Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) dengan kerjasama Unit Pembangunan Usahawan Kedah (UPUK) mengadakan Program Ekonomi Komuniti Digital Kedah, hari ini.
Program itu turut disokong Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Putrajaya diadakan di Jerai Hotel, di sini.
Timbalan Presiden MCCA, Azrul Zafri Azmi berkata, program itu bertujuan untuk mendedahkan kepada usahawan Kedah berkaitan ‘dagangan sosial’ digital yang mana membantu usahawan menjana jualan menggunakan sistem ejen/stokis/dropship.
Beliau berkata, peserta program dibekalkan dengan sistem percuma untuk meluaskan lagi saluran jualan ke seluruh negara.
“MCCA komited untuk sentiasa membantu pengguna siber, termasuklah golongan usahawan digital di negara ini menerusi program usahasama dengan kerajaan negeri
“Selain itu, MCCA juga berharap supaya program ini dapat memberi manfaat kepada peserta usahawan supaya dapat membantu meningkatkan jualan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Program itu dirasmikan Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Ekonomi Negeri Kedah (BPEN), Abdullah Sanie dan turut dihadiri Setiausaha Kehormat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Putrajaya, Shahrizal Mohamad Nawati.
Azrul berkata, industri dagangan sosial (social commerce) di Malaysia bernilai RM1.4 bilion, oleh itu, MCCA berharap supaya pengguna siber terutamanya golongan usahawan digital dapat memanfaatkannya untuk menjana pendapatan dan menaikkan jualan perniagaan.
Sumber: Metro