Aduan

Penubuhan NSRC tepat pada masanya

Bajet 2023 sudah pun selesai dibentang minggu lalu dan antar yang menarik perhatian adalah Penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang dilihat mampu membendung jenayah penipuan termasuk kewangan di negara ini.

Sudah tentu di sebalik ketidaktentuan isu keselamatan siber, MCCA menyambut baik cadangan kerajaan menubuhkan pusat berkenaan yang membabitkan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) serta Bank Negara Malaysia (BNM).

Setidak-tidaknya, rakyat tahu peka isu penipuan dalam talian termasuk kewangan dengan menubuhkan pusat berkenaan yang boleh dijadikan sebagai platform untuk mengkaji modus operandi sindiket penipuan dalam talian yang sentiasa berubah.

Walaupun sebenarnya kita memerlukan lebih dari itu, tetapi ia adalah permulaan yang bijak ketika kita sedang beralih kepada digitalisasi sepenuhnya.

Tindakan kerajaan menghentikan penggunaan ‘one-time-password’ (OTP) yang berasaskan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang digunapakai bagi transaksi berisiko tinggi adalah tindakan bijak kerana ia sudah tidak relevan.

Selain kesedaran, keberanian juga sebahagian tuntutan kepada revolusi keselamatan siber negara yang diperjuangkan sejak beberapa tahun ini.

Selain NSRC, penyediaan sebuah platform untuk orang ramai melaporkan mana-mana akaun atau nombor disyaki digunakan oleh penjenayah penipuan dalam talian adalah baik bagi membolehkan mangsa menyalurkan maklumat tanpa sebarang karenah birokrasi.

Kerana itu, sebarang langkah seperti pengumuman di dalam Bajet 2023 bersangkutan siber, multimedia dan digital ini perlu diangkat sebagai agenda nasional menerusi dokongan semua pihak.

Kita tidak boleh tunggu lagi, perubahan dalam era teknologi ini begitu pesat dan jika kita leka, maka kita berdepan isu yang sangat sukar untuk ditangani dalam jangka masa singkat.