Aduan

Perluasan 100 peratus Internet adalah harapan semua rakyat

Langkah kerajaan untuk memperkemaskan Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 untuk penyediaan 100 peratus liputan Internet adalah suara serta harapan seluruh rakyat negara ini.

  Dunia digital pada hari ini memerlukan keupayaan akses kepada Internet sekali gus memperlihatkan bahawa telekomunikasi digital bukan lagi ‘aksesori’ sebaliknya sudah mencapai satu keperluan.

  Bermula daripada medium komunikasi sehingga kepada platform pembelajara, semuanya memerlukan akses kepada Internet sekali gus inisiatif kerajaan itu adalah langkah paling tepat.

  Seiring dengan pembentangan Bajet 2023 lalu, kerajaan akan menyediakan 100 peratus liputan Internet di kawasan berpenduduk dan menyediakan liputan gentian optik kepada 9 juta premis di seluruh negara menjelang 2025.

  Inisiatif itu turut membabitkan jumlah pelaburan sebanyak RM8 bilion termasuk sumbangan pihak industri.

  Bagi tahun 2023, inisiatif JENDELA akan disediakan RM700 juta untuk melaksanakan ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan hampir 3,700 buah sekolah.

  Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga akan merintis pelaksanaan Projek Internet Luar Bandar dengan mengoptimumkan jaringan kabel elektrik untuk menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi.

  Projek ini akan memanfaatkan lebih 60,000 penduduk luar bandar dan disokong menerusi geran sepadan sebanyak RM25 juta.

  Bagi tahun depan, Digital Nasional Berhad (DNB) akan memperluas rangkaian 5G di seluruh negara merangkumi 70% kawasan berpendudukan tinggi.

  DNB merancang untuk melaksanakan perbelanjaan infrastruktur bernilai RM1.3 bilion dalam tahun 2023.