Aduan

Perkhidmatan penstriman, masa depan hiburan

Suka atau tidak, kemudahan penyiaran penstriman sudah menjadi normalisasi baharu dan platform yang paling dominan pada hari ini adalah Netflix dan diikuti beberapa perkhidmatan lain.

  Keupayaan Internet kelajuan tinggi pada hari ini memudahkan pengguna untuk mengakses sebarang kandungan menerusi platform berkhidmatan berkenaan dan tiada lagi istilah ‘intisari rancangan’ pada era ini.

  Pengguna hanya perlu mencari sebarang drama atau filem kegemaran dan boleh menonton secara terus.

  Penyedia perkhidmatan TV satelit, Astro juga sudah banyak beralih arah kepada konsep berkenaan dan syarikat itu juga sudah menggunakan konsep ‘Video on Demand’ (VOD) menerusi pengenalan Astro Box Ultra mereka.

  Pemuka untuk Astro Box Ultra itu juga turut berkonsepkan kepada VOD melainkan rancangan berbentuk siaran langsung.

  Berdasarkan firma kajian terkemuka mendedahkan bahawa platform paling popular di negara ini untuk suku tahun pertama 2022 adalah Netflix, diikuti oleh Viu, Disney+ Hotstar, iQIYI dan beberapa perkhidmatan lain.

  Biarpun Netflix kekal dominan, wujud khabar angin menyatakan syarikat itu akan memperkenalkan perkhidmatan iklan.

  Ini memberi gambaran bahawa jika ia menjadi kenyataan, platform berkenaan bakal meraih perolehan daripada penyiaran iklan menerusi platformnya.

  Langkah itu juga akan diikuti oleh penyedia perkhidmatan lain apabila melihat kepada keuntungan yang bakal dijana menerusi nilai tambah itu.