Aduan

Kes jenayah siber membimbangkan

Sangat membimbangkan apabila 11,367 kes atau 61 peratus jenayah siber direkodkan dalam tempoh enam bulan tahun ini.

Pendedahan Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos itu bukan satu angka yang boleh kita anggap biasa apatah lagi dałam beberapa tahun kebelakangan ini, hidup kita semuanya bersandarkan kepada gajet dan internet.

Ketika negara mula pulih daripada ‘kejatuhan’ akibat Covid-19, indeks jenayah siber menunjukkan trend sebaliknya, semakin ketara dengan kaedah yang semakin kompleks.

Saban hari, kita akan membaca berita atau perkongsian di media sosial mengenai mangsa panggilan scammer, penipuan online, jenayah e-dagang, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud, lovescam, dan memancing data (phishing).

Nampak seperti tidak bleh selesai ialah panggilan penyamaran yang merekodkan 4,912 kes dengen anggaran kerugian hampir RM200 juta.

Bayangkan bagaimana ‘industri’ scam ini membabitkan sejumlah besar wang seperti itu.

Seperti mana kes-kes lain, kita yakin jumlah itu lebih tinggi kerana pasti masih ramai yang tidak melaporkan kepada pihak berkuasa.

Seperti mana dikongsikan di dalam artikel sebelum ini, pelaku jenayah siber ini tidak mengenal sesiapa, mungkin yang pandai internet dan tahu selok belok siber juga boleh menjadi mangsa. Malah, ada yang sudah terjerat pun.

Sampai masanya kita berganding bahu berkongsi kesedaran maksimum mengenai keadaan ini. Terlalu bahaya kepada negara jika dibiarkan.

MCCA saja tidak mampu untuk bekerja bersendirian, pihak berkuasa juga begitu.

Justeru, kita semua di pelbagai peringkat, perlu segera bertindak, memainkan peranan semudah memperingatkan kepada ahli keluarga agar jangan mudah percaya hyperlink, atau tawaran yang diterima menerusi SMS dan lain-lain.

Kita perlu bertindak bijak, selamatkan diri, keluarga dan negara. Jangan jadi mangsa scam.