Aduan

Apple Pay diperkenalkan dengan tiga institusi perbankan setakat ini

Pengguna tiga institusi perbankan iaitu Maybank, AmBank dan Standard Chartered menikmati kaedah pembayaran baharu oleh Apple iaitu Apple Pay yang mula dilaksanakan hari ini.

  Bagi pemilik akaun Maybank, mereka boleh mengimbas kad debit atau kad kredit untuk menggunakan perkhidmatan ApplePay manakala dua lagi institusi iaitu AmBank dan Standard Chartered hanya untuk kad kredit saja buat masa ini.

  Perkhidmatan ApplePay berkenaan sudah dilancarkan di 60 buah negara seluruh dunia termasuk yang terbaru di Malaysia membabitkan tiga institusi perbankan.

  Pengenalan kaedah pembayaran baharu Apple Pay di Malaysia memperlihatkan bahawa transaksi menerusi dompet digital menjadi landskap baharu kepada dunia pada hari ini.

  Walaupun Apple Pay sudah diperkenalkan sejak 2014, namun kaedah pembayaran berkenaan baru memasuki ekosistem negara kelmarin.

  Sistem pembayaran pintar paling selamat itu menggunakan kaedah pengimbasan kad dan kaedah penyimpanan kad untuk perkhidmatan berkenaan sekali gus pengguna dapat menikmati pembayaran transaksi tanpa sebarang masalah.

  Untuk menyimpan kad debit atau kad kredit berkenaan, pengguna hanya perlu meletakkan kad debit atau kad kredit di dalam ruang pengimbasan selepas memilih pilihan ‘Wallet & Apple Pay’ di dalam ruangan penetapan (setting).

  Selepas itu, pengguna diminta untuk mengimbas kad debit atau kad kredit di dalam tetingkap disediakan sebelum kod keselamatan OTP dihantar kepada nombor telefon yang berdaftar dengan perbankan berkenaan.

  Bagi menggunakan perkhidmatan ApplePay berkenaan, pengguna hanya perlu menekan dua kali di bahagian butang sebelah kanan dan peranti akan meminta pengesahan biometrik wajah atau kod pin untuk meneruskan transaksi.

  Pengguna hanya perlu mendekatkan peranti pintar iaitu iPhone ataupun Apple Watch dengan terminal transaksi untuk melakukan pembayaran.