Tidak lama dulu, permainan atau ‘games’ ini hanya dikenali sebagai segmen mengisi masa lapang saja tanpa menjanjikan kerjaya atau sumbangan ekonomi yang signifikan.
Namun, seiring dengan perubahan teknologi semasa, segmen permainan bakal menjadi industri masa depan termasuk peluang kerjaya baharu.
Berdasarkan perangkaan semasa juga memperlihatkan bahawa industri permainan bakal menjadi segmen penting di dalam ekonomi malah mampu menjadi penyumbang besar bagi pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.
Rekod tahun lalu juga memperlihatkan bahawa ‘gamers’ tempatan berbelanja sekitar RM2.7 bilion untuk pembelian judul permainan serta beberapa kandungan berbayar termasuk ‘gems’ yang ditawarkan dalam sistem perdagangan maya.
Jumlah besar itu dilihat meningkat berbanding 2019 apabila dilaporkan pembelian untuk segmen sama direkodkan sekitar RM2.5 bilion dan peningkatan itu berkait rapat dengan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini sejak tahun lalu.
Keadaan berkenaan memberikan isyarat paling jelas bahawa segmen permainan akan terus berkembang seiring dengan teknologi semasa dan ia bukan mengejutkan jika menjadi salah satu pendapatan kepada sesebuah negara.
Infrastruktur latihan dan pembangunan seharusnya dimulakan bermula daripada sekarang untuk memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam bidang baharu ini.
Ia menjadikan negara sebagai salah satu ‘lubuk keuntungan’ pembangunan permainan untuk rantau Asia Tenggara dan kebanyakan pembelian dibuat menerusi tawaran kosmetik sesebuah judul permainan.
Pembelian berkenaan termasuk judul baharu permainan, pembelian kosmetik seperti ‘power up’ serta karektor unik malah pelbagai jenis pembelian di dalam permainan.
Malah, wujud ‘gamers’ tegar yang sanggup berbelanja ribuan ringgit sebulan semata-mata untuk membeli ‘keperluan permainan’ mereka.
Jika melihat kepada skop potensi ekonomi yang lebih besar, industri permainan menjana keuntungan sekitar RM770 bilion dan angka itu akan terus meningkat setiap tahun.
Laporan daripada Newzoo menyatakan bahawa rekod keuntungan untuk industri permainan itu akan mencecah lebih RM800 bilion pada 2023 dan lebih separuh daripada industri berkenaan disumbangkan oleh segmen permainan mudah alih atau ‘mobile gaming’.
Menerusi segmen permainan mudah alih itu, beberapa judul yang sering mendapat perhatian adalah PUBG Mobile, Mobile Legends dan beberapa judul lain merekodkan pembelian di dalam permainan paling tinggi berbanding segmen permainan konvensional yang menggunakan desktop atau laptop.
Pada tahun lalu, permainan mudah alih merekodkan keuntungan RM338 bilion iaitu 12 peratus peningkatan dengan jumlah pengguna lebih 2 bilion.