Aduan

Hati-hati praktik gajet sebagai ‘ubat pelali’ anak

Waspada menjadikan peranti sebagai ‘ubat pelali’ kepada anak-anak kerana ia mungkin mengundang ketagihan kanak-kanak kepada gajet sekali gus memungkinkan masalah lain.

  Ia bukan saja terdedah kepada akses maklumat yang tidak sepatutnya dilayari seperti laman lucah dan sebagainya, malah jika kanak-kanak pada peringkat awal didedahkan dengan peranti pintar, ia mungkin mengakibatkan masalah lain seperti ’speech delay’.

  Hal ini sering berlaku pada masa kini kerana pendekatan ibu bapa yang lebih cenderung membenarkan penggunaan gajet pada usia awal iaitu untuk kanak-kanak tiga tahun ke bawah.

  Pendedahan peranti pintar kepada kanak-kanak di awal usia sebenarnya membawa lebih banyak kesan negatif termasuk masalah pertuturan, kadar rabun dalam kalangan kanak-kanak dan bermacam lagi masalah lain.

  Pengawalan tempoh waktu gajet dengan anak-anak adalah langkah terbaik supaya mengurangkan risiko masalah lain terutamanya membabitkan keupayaan untuk bertutur.

  Menerusi satu kajian baharu yang dilaksanakan oleh firma keselamatan siber terkemuka, Kaspersky mendedahkan wujud pertalian langsung antara tabiat ibu bapa dalam menghabiskan masa dengan gajet dengan perilaku anak mereka.

  Data empirikal yang diperoleh menunjukkan bahawa sebanyak 82 peratus orang dewasa dan 70 peratus kanak-kanak cenderung untuk meniru perbuatan ibu bapa mereka dalam tabiat tempoh waktu dengan gajet.

  Kajian secara terperinci yang dilaksanakan oleh firma keselamatan siber itu juga mendedahkan bahawa kanak-kanak akan sentiasa memerhatikan kelakuan ibu bapa mereka sebelum bertindak untuk meniru perbuatan berkenaan.

  Kaspersky juga menyatakan bahawa wujud perhubungan langsung antara tempoh skrin antara ibu bapa dan anak mereka termasuk tabiat dalam kalangan orang dewasa.

  Terdapat juga ibu bapa yang memberikan gajet ini umpama ‘ubat pelali’ kepada kanak-kanak untuk menyuruh mereka diam namun dalam satu tempoh yang lama tanpa kawalan.

  Tindakan itu sekali gus memungkinkan golongan berkenaan mengalami ketagihan peranti pintar ketika di peringkat awal pembesaran.