Aduan

(#HarapanBajet2023) – Perkemas digitalisasi pendidikan negara

Mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), kerajaan dicadangkan untuk memperkukuhkan lagi digitalisasi pendidikan negara.

  Sepanjang tempoh pandemik Covid-19 dua tahun ini memperlihatkan bahawa keupayaan aspek digitalisasi pendidikan dilihat kurang berkemampuan dalam mendepani situasi seumpama itu.

  Ia sekali gus memberi banyak permasalah daripada aspek teknik pengajaran sehinggalah kepada kekurangan fasiliti serta infrastruktur.

  Memetika laporan BERNAMA, Tokoh Pendidikan Negara Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, justeru itu, Kementerian Pendidikan (KPM) sewajarnya diberikan lebih banyak peruntukan tambahan dalam Bajet 2023 agar selari dengan hasrat kerajaan untuk mentransformasi pendidikan negara.

  Beliau berkata, peralatan pengajaran khususnya berkaitan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) termasuk penyediaan makmal komputer, robotik dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bukan sesuatu yang murah dan memerlukan kos tinggi.

  “Makmal komputer misalnya telah mula diwujudkan di sekolah sekitar 2000 namun bila sebut tentang komputer, tidak bolehlah kita pakai yang ketinggalan zaman, begitu juga dengan teknologi, kita perlukan alatan dan teknologi yang baharu sebagai bantuan PdP seperti yang ada ketika ini iaitu ‘papan elektronik’.

  “Semua ini, mahu tidak mahu kita kena sediakan kemudahan terkini merangkumi aplikasi untuk digunakan para pelajar dan guru sekali gus memastikan ia dapat dimanfaatkan semua pelajar sama ada di bandar mahu pun luar bandar,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

  Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, penyediaan kemudahan PdP yang terkini bercirikan teknologi, digital dan automasi bukan sahaja diperlukan di sekolah harian malah, sekolah yang menyediakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

  “Sekiranya kerajaan mahu melihat (sebagai contoh) bidang pertanian mengaplikasi teknologi digital, pelaburan bagi menyediakan kemudahan dan teknologi terkini perlu bermula di peringkat persekolahan lagi,” katanya.

  Menyuarakan perkara sama, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Aminuddin Awang berkata, peruntukan tambahan diperlukan bagi menaik taraf kemudahan ICT dalam melancarkan proses tranformasi digital sistem pendidikan negara.

  “Peruntukan tambahan ini untuk naik taraf ICT membabitkan 10,250 sekolah di seluruh negara kerana hari ini kita lihat apa yang ada pun sudah agak ketinggalan, kemudahan Internet yang lembap begitu juga peralatan yang digunakan.

  “Saya harap keutamaan dapat diberikan bagi meningkatkan sistem ICT sekolah kerana ia amat diperlukan ketika ini bukan sahaja untuk PdP tetapi dalam urusan sekolah,” katanya menambah masalah kerencatan Internet akan menyebabkan usaha transformasi pendidikan negara akan terjejas.