Aduan

Hanya 5 Saat ‘Buka Aib’ – Bahana AI

Kuala Lumpur: Kurang daripada lima saat, gambar seseorang boleh berubah menjadi bahan pornografi hasil keupayaan Kecerdasan Buatan (AI) yang mampu menukar badan mangsa menjadi telanjang. Kaedah itu dikenali sebagai ‘pertukaran wajah’ atau face swapping, dan setiap individu boleh melakukannya kerana terdapat puluhan aplikasi yang menawarkan keupayaan berkenaan.

Imej pornografi yang terhasil juga hampir sempurna apabila AI berkenaan melaksanakan keseluruhan proses berkenaan termasuk padanan tona warna kulit antara badan serta muka mangsa. Pengguna juga boleh melanggan aplikasi berkenaan dengan kadar serendah RM130 sebulan, dan proses pertukaran wajah itu boleh dilaksanakan dengan pantas berbanding pakej percuma.

Proses pertukaran imej ini boleh dilakukan dengan mudah, iaitu pihak ketiga hanya perlu memasukkan mana-mana posisi wajah sasaran mangsa dan memuat naik imej berkenaan menerusi aplikasi yang menawarkan keupayaan itu. Untuk memberikan keputusan terbaik, kebanyakan aplikasi ini akan meminta gambar hadapan muka, dan dalam kurang dari lima saat, imej pornografi berkenaan akan terhasil.

Mendedahkan perkara itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, walaupun teknologi AI ini belum mencapai kematangan, namun imej pornografi terbabit sudah menghampiri tahap sempurna. Menurutnya, berdasarkan beberapa ujian yang dilaksanakan terhadap aplikasi yang menawarkan perkhidmatan berkenaan, imej pornografi yang dihasilkan sudah mirip kepada kesempurnaan.

“AI berkenaan mampu untuk menyeragamkan warna kulit antara mangsa serta foto bogel sekali gus menjadikan imej terbabit persis gambar sebenar. Untuk itu, kita mahu mengingatkan kepada pengguna laman sosial khususnya untuk berhati-hati memuat naik gambar mereka kerana ia mungkin digunakan untuk tujuan lain.

“Mungkin kita memuat naik gambar yang sempurna atau menutup aurat, namun gambar yang sama juga boleh digunakan untuk tujuan penukaran imej serta bahan pornografi,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Atas dasar itu, MCCA sentiasa berpendirian bahawa kerajaan perlu menggubal perundangan baharu yang menggariskan takrifan tentang ancaman siber. Siraj berkata, perundangan sedia ada tidak mencukupi untuk mendepani ancaman AI ini dan pada masa depan, teknologi ini akan lebih berkembang pesat.