ATURKAN MASA, HADKAN PENGGUNAAN GAJET DALAM KALANGAN ANAK-ANAK
Berapa lamakah anak-anak anda menggunakan gajet sama ada tablet atau telefon bimbit setiap hari?
Benarkah gajet ini menggantikan aktiviti sosial serta permainan fizikal seperti zaman dahulu? Semua ini mengundang tanda tanya kepada kita dalam dunia tanpa sempadan masa kini.
Sebelum ini, kita melihat bahawa orang dewasa saja yang menggunakan telefon bimbit, pada setiap masa dan suasana.
Terkini, ada ibu bapa menggantikan layanan, kasih sayang dan perhatian kepada anak-anak dengan memberikan gajet untuk hiburan mereka.
Pada usia yang sangat kecil, anak-anak didedahkan dengan ‘screen time’ berjam-jam dalam sehari, malah ia menggantikan pujukan jika kanak-kanak merengek dan menangis.
Kita mungkin terlepas pandang mengenai ketagihan skrin yang boleh memberikan impak ke atas kesihatan.
Keseronokan mereka ‘ralit’ dengan permainan yang mengasyikkan boleh menyebabkan mata terjejas tanpa kita sedari, malah sudah ada beberapa kes di luar negara, kanak-kanak mengalami masalah dengan penglihatan.
Itu satu bab. Lebih menakutkan, mereka terdedah kepada laman web pornografi, dan apa yang kita boleh bayangkan dari keadaan itu.
Dalam kajian lain, sikap anak juga boleh berubah menjadi tantrum jika tidak dapat bermain dengan gajet, dan contoh paling mudah, mereka akan mengamuk jika bateri habis ketika sedang leka bermain.
Sebagai kesimpulan, ibu bapa perlu ‘bekerja lebih masa’ untuk memantau penggunaan gajet oleh anak-anak selain memastikan ia digunakan sewajarnya.
Ramai anak-anak berjaya di dunia ini kerana menggunakan gajet dengan sebaiknya, mencari ilmu yang sesuai dengan usia dan paling penting, tidak ada perkara yang tidak boleh diketahui jika melayari internet.
Pilih-pilihlah