Aduan

Siasatan ketirisan data perlu babitkan polis – MCCA

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) menggesa supaya pasukan penyiasatan insiden ketirisan data peribadi lima juta penumpang dan kakitangan sebuah syarikat penerbangan yang dibentuk kerajaan turut memerlukan pembabitan langsung Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai badan siasatan dan penguatkuasaan undang-undang.

Pengerusinya Datuk Ahmad Noordin Ismail berkata, ketika ini pasukan penyiasatan Kementerian Komunikasi dan Digital untuk siasatan insiden itu yang terdiri daripada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) belum memadai.

Katanya, sekiranya siasatan insiden itu menjurus ke landasan bagi mengambil tindakan undang-undang maka ia memang perlu membabitkan PDRM.

“Apabila saya membaca berita, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sudah pun menyentuh berkenaan siasatan mengenai insiden ketirisan data ini.

“Persoalannya, siasatan untuk apa? Nak cari untuk mengetahui ketirisan dan kebocoran data saja atau mengambil tindakan lanjut berdasarkan peruntukkan undang-undang. Jika nak ambil tindakan undang-undang kenapa tiada pun laporan polis dibuat?

“CSM pula bukanlah badan penguatkuasaan. Manakala SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) mempunyai kuasa tindakan yang terhad berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia…akta lain tidak terpakai. Sebab itu jika siasatan untuk tindakan undang-undang ia perlu membabitkan PDRM,” katanya.

Beliau berkata, jika polis tidak secara langsung terbabit dalam penyiasatan dan hanya menerima hasil siasatan daripada pasukan penyiasatan maka adalah dibimbangi akan berlaku kepincangan dalam rantaian kes.

Semalam, Kementerian Komunikasi dan Digital menerusi kenyataan menjelaskan siasatan awal berhubung insiden ketirisan data peribadi lima juta penumpang dan kakitangan sebuah syarikat penerbangan mendapati, berlakunya serangan siber ke atas sistem pelayan AirAsia pada 12 November lalu yang berpunca daripada akses tanpa kebenaran, mengakibatkan serangan perisian tebusan.

Fahmi dilaporkan berkata, serangan siber itu berpotensi menyebabkan kebocoran data, dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca pencerobohan serta impak keseluruhan insiden yang berlaku.

Sumber: HMetro