Kuala Lumpur, 18 Mac 2025 – Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) terus memainkan peranan aktif dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan digital dan ancaman penipuan dalam talian (scam). Dalam program Ruang Bicara yang bersiaran di Bernama TV hari ini, Pengerusi MCCA, SAC (B) Dato’ Ahmad Noordin bin Ismail telah diundang sebagai panel bersama Ketua Pegawai Teknologi CyberSecurity Malaysia, Encik Wan Roshaimi bin Wan Abdullah, bagi membincangkan topik bertajuk Scam Digital – Ancaman Tanpa Sempadan.
Perbincangan ini menyoroti cabaran jenayah siber yang semakin berleluasa dan merungkai pelbagai taktik yang digunakan oleh penjenayah siber dalam memperdaya mangsa. Selain itu, kedua-dua panel berkongsi langkah-langkah pencegahan serta kaedah terbaik untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dalam menghadapi ancaman scam yang semakin sofistikated.

Menurut SAC (B) Dato’ Ahmad Noordin, pengguna siber perlu sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan taktik manipulasi yang digunakan oleh penipu dalam talian. “Kesedaran, kepekaan, dan tindakan proaktif adalah benteng utama dalam memastikan keselamatan digital negara,” ujar beliau.
Encik Wan Roshaimi pula menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), dan masyarakat dalam menangani jenayah siber. Beliau turut menggariskan beberapa inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh CyberSecurity Malaysia bagi meningkatkan daya ketahanan digital negara.

Program yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Digital Malaysia dan Bernama TV ini turut menyeru masyarakat agar lebih berhati-hati serta melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan kepada pihak berkuasa. Inisiatif seperti ini diharapkan dapat memberikan impak positif dalam usaha memerangi ancaman scam digital dan melindungi pengguna siber di Malaysia.
MCCA terus komited dalam memperjuangkan hak pengguna siber dan akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam mendidik masyarakat mengenai keselamatan digital. Bersama-sama, kita mampu membentuk ekosistem siber yang lebih selamat dan terlindung daripada ancaman penipuan dalam talian.
Untuk tontonan penuh sila layari: