Aduan

Rakyat perlukan jaminan kerajaan sahkan Digital ID selamat diguna

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi jaminan kepada rakyat bahawa pelaksanaan sistem Identiti Digital Nasional atau Digital ID adalah selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini pada masa depan.

Selain itu, kerajaan juga digesa berusaha mempertingkatkan tahap kepercayaan masyarakat terhadap usaha melaksanakan inisiatif penggunaan Digital ID ini.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, berkata pelaksanaan inisiatif Digital ID sebenarnya memudahkan rakyat berurusan secara bersemuka atau secara jarak jauh di alam maya dengan penyedia perkhidmatan digital dari pelbagai sektor bagi tujuan pengesahan identiti dengan selamat, terjamin dan menjimatkan masa.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan juga membantu orang ramai mengakses dan melakukan pelbagai transaksi tanpa perlu mengingati pelbagai ID pengenalan dan kata laluan.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai mungkin berasa curiga dengan tahap keselamatan sistem Digital ID ini susulan banyak laporan penipuan sistem secara dalam talian yang berlaku sejak kebelakangan ini.

“Secara umumnya, Digital ID adalah suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital dengan merujuk kepada sumber tunggal yang sahih berdasarkan ciri biometrik bagi digunakan untuk mendapatkan perkhidmatan digital yang selamat, terjamin dan terlindung.

“Ia memang memudahkan orang ramai mengakses dan melakukan pelbagai transaksi secara dalam talian dan rakyat yang peka dengan kemajuan teknologi ini perlu melindungi diri mereka daripada masalah jenayah siber.

“Digital ID ini antara kunci penyelesaian kepada masalah jenayah siber kerana antara perkara asas dijadikan sandaran kepada perlakuan jenayah siber adalah pemalsuan identiti dan manipulasi terhadap mereka yang berdepan akaun palsu.

“Jadi mereka tidak mahu itu berlaku sekiranya inisiatif Digital ID berkenaan dilaksanakan,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kebimbangan orang ramai dengan pelaksanaan Digital ID seperti rekod peribadi dan perbankan akan terbocor serta cip diimplan dalam tubuh individu, adalah tidak berasas.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam membicara soal transformasi digital, rakyat harus menerima kenyataan bahawa negara perlu maju seiring dengan perkembangan semasa termasuk penggunaan teknologi.

Siraj berkata, adalah tidak wajar jika masyarakat percaya dengan konspirasi digembar-gemburkan pihak tertentu kononnya Digital ID yang diusahakan kerajaan ini tidak selamat kepada pengguna.

“Sebelum ini ramai pihak sudah memberikan identiti dan maklumat peribadi mereka secara percuma kepada pihak lain termasuk syarikat luar terkemuka tetapi perkara itu tidak pernah dipersoalkan secara serius disebabkan mereka rasa yakin dan selamat kepada syarikat terbabit.

“Jadi mengapa pula rakyat Malaysia tidak boleh mempercayai kerajaan sendiri terhadap pelaksanaan inisiatif berkenaan yang sudah pasti tugas kerajaan adalah untuk melindungi rakyat mereka,” katanya.

BHOnline