Minggu lalu sekali lagi negara dikejutkan dengan kes kehilangan duit dari akaun sebuah bank tempatan.
Ramai yang memberikan komen meminta tindakan diambil segera oleh pihak berwajib untuk mengatasi isu itu malah ada yang secara sinis mahu meletakkan wang di bawah bantal seperti puluhan tahun lalu.
Isu keselamatan siber itu tetap ada, namun apa yang perlu kita bincangkan adalah bagaimana perkara itu boleh berlaku, apakah ia salah sistem insititusi kewangan semata-mata?
Jawapannya tidak. Hasil dapatan menunjukkan kebanyakan kes, atau sebahagian besar disebabkan ‘unauthorized transaction’ bermula dengan kebocoran maklumat atau data peribadi pemilik akaun itu sendiri.
Di sinilah yang perlu kita fahami betul-betul, pernahkah kita mengisi apa-apa borang secara online, mendedahkan maklumat peribadi untuk membeli pertandingan atau keahlian perniagaan?
Pernahkah kita klik apa-apa link untuk ‘mengetahui dengan lebih lanjut’ sesuatu hebahan, makluman atau berita misalannya.
Inilah antara puncanya, kita mendedahkan maklumat tanpa kita sedar bahayanya dan apabila terjadi isu kehilangan duit ini, kita terus menuding jari kepada bank.
Secara praktikalnya, bank akan menyekat akaun terbabit terlebih dulu bagi mengelakkan lebih banyak wang dikeluarkan.
Namun, ramai pula ‘keyboard warrior’ menyifatkan tindakan itu menyebabkan urusan seharian tergendala sedangkan puncanya daripada siapa?
Apa juga yang kita lakukan di dunia ini sudah pasti mempunyai risiko tersendiri dan mempunyai perbankan secara online juga begitu.
Sebab itu jika awal-awal ada pihak menempelak kenapa sistem bank ini, kenapa begitu, pada akhirnya dia sendiri akan mengakui ada menekan link tertentu sebelum duit lesap di dalam akaun.
Isu asasnya adalah keselamatan siber ini perlu dilindungi di bawah satu akta, itu yang diperjuangkan banyak pihak selama ini.
Itu hanyalah satu daripada aspek perundangan, tetapi jauh lebih penting, secara asasnya, sikap dan kesedaran kita sendiri yang perlu diubah terlebih dulu sebelum semuanya sudah terlambat.