Aduan

Lebih 100,000 IP berdaftar di Malaysia terbabit pornografi kanak-kanak

Membimbangkan apabila lebih 100,000 alamat Protokol Internet (IP) yang berdaftar di negara ini dikenalpasti terbabit dalam pornografik kanak-kanak dalam tempoh enam tahun ini.

  Berdasarkan rekod, sebanyak 106,764 alamat IP ini direkodkan bermula pada tahun 2017 hingga Ogos tahun ini sekali gus mencetuskan kebimbangan berhubung eksploitasi membabitkan pornografi kanak-kanak.

  Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun menyatakan bahawa angka berkenaan amat membimbangkan dan memerlukan usaha khusus untuk memberi pemahaman kepada kanak-kanak.

  Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut melihat bahawa trend ini sebagai perkembangan yang tidak sihat terutamanya membabitkan golongan yang mudah terdedah dengan bahan pornografik sekali gus mendorong kepada ketagihan seks.

  Berkongsi statistik kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak, Rina dalam laporan media itu berkata, sejak Januari hingga Jun lepas, PDRM menerima 47 kes rogol berkumpulan, 95 kes (seks luar tabii), 127 kes (sumbang mahram), 438 kes (cabul) dan 641 kes melibatkan jenayah rogol.

  Beliau berkata, KPWKM melaksanakan pelbagai usaha antaranya menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Bersepadu Pengurusan Isu-isu Sosial Kanak-Kanak di media sosial pada 15 Jun 2021, memperkasakan perkhidmatan kaunseling di 108 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah serta memperkasakan peranan komuniti dengan melantik 299 Pembantu Pelindung di Jabatan Kebajikan Masyarakat.

  Peranan serta pemantauan daripada ibu bapa perlu diterapkan dengan pelbagai kaedah antaranya yang paling mudah adalah menggunakan khidmat ‘parental control’ pada setiap gajet, peranti dan akaun emel.

  Kaedah ini membolehkan ibu bapa melihat aktiviti anak-anak malah notifikasi akan dihantar kepada ibu bapa jika anak-anak melayari laman web yang meragukan sekali gus terdedah kepada pemangsa siber.