Aduan

MCCA Turut Serta Dalam Program Buli Siber Peringkat Daerah Kuala Langat 2025

Kuala Langat, 25 Februari 2025Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) terus komited dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu keselamatan siber dengan menyertai Program Buli Siber Peringkat Daerah Kuala Langat 2025. Program ini dianjurkan oleh Wanita Berdaya Selangor dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bertempat di Dewan Sri Jugra, MPKL.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor, Puan Siti Faridah binti Abdul Samad. Turut hadir adalah wakil-wakil daripada Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan pegawai dari Majlis Perbandaran Kuala Langat serta agensi berkaitan. Program ini bertujuan untuk mendidik masyarakat mengenai ancaman buli siber dan langkah-langkah pencegahannya bagi mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat.

Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), SAB Dato’ Ahmad Noordin

Sebagai antara panel utama dalam sesi bual bicara, Pengerusi MCCA, SAC (B) Dato’ Ahmad Noordin Ismail, telah berkongsi pandangan dan pengalaman beliau mengenai isu buli siber serta kepentingan kesedaran digital dalam kalangan masyarakat. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa buli siber bukan sekadar ancaman kepada individu tetapi juga memberi kesan besar kepada kesejahteraan mental dan emosi masyarakat secara keseluruhan.

“Buli siber adalah masalah serius yang perlu ditangani dengan pendekatan holistik. Masyarakat perlu dididik mengenai kesan buruk buli siber serta peranan mereka dalam membanteras gejala ini. MCCA sentiasa berusaha menyediakan pendidikan digital kepada orang ramai bagi memastikan mereka lebih berdaya tahan dalam menghadapi cabaran dunia siber,” ujar Dato’ Ahmad Noordin.

Sesi bual bicara ini turut menampilkan dua lagi ahli panel iaitu Encik Hamid bin Mohamad @ Assanar dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta Inspektor Herry Anak Alban Ali yang merupakan Pegawai Khas dari IPD Kuala Langat (PDRM). Program ini dikendalikan oleh moderator, Puan Nur Zairina binti Muzaini dari Majlis Perwakilan Penduduk (MPP Zon 21).

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti interaktif turut diadakan bagi meningkatkan pemahaman peserta mengenai buli siber dan cara mengatasinya. Pendekatan proaktif seperti ini amat penting dalam memastikan kesedaran tentang buli siber dapat diperluaskan ke seluruh lapisan masyarakat.

MCCA akan terus memainkan peranan aktif dalam usaha meningkatkan literasi digital di Malaysia serta bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi memastikan internet menjadi ruang yang lebih selamat untuk semua pengguna. Kesedaran dan tindakan kolektif amat diperlukan untuk membanteras buli siber serta mewujudkan persekitaran digital yang positif dan beretika.

Dengan adanya program seperti ini, diharapkan masyarakat akan lebih memahami betapa pentingnya untuk bersama-sama membanteras buli siber dan menggunakan teknologi dengan lebih bertanggungjawab. MCCA akan terus berperanan dalam menyebarkan kesedaran mengenai keselamatan siber dan memperjuangkan hak pengguna digital di Malaysia.