Aduan

Masihkah wujud privasi di alam siber?

Alpha Zero Foxtrot

Masih Wujudkah Privasi?

Pada hari ini, semua orang memperkatakan tentang kerahsian, kedaulatan data, privasi dan bermacam lagi ‘jargon’ baharu yang mengaitkan tentang kerahsian data peribadi.

  Namun, satu persoalan besar yang perlu dijawab secara kolektif adalah apakah masih wujud privasi ketika ini.

  Semuanya tersimpan di awanan atau ruang siber. Kad pengenalan kita, nombor telefon, alamat rumah, peranti yang digunakan serta segala jenis maklumat yang berkait dengan diri kita.

  Walaupun data serta maklumat itu tersimpan dalam bentuk set tidak sistematik di awanan, namun ia masih boleh diakses oleh individu yang diberikan keupayaan, tanggungjawab penyelenggaraan data serta awanan dan mereka yang diberikan had akses semua peringkat.

  Secara dasarnya, tiada lagi hak privasi pengguna kerana semuanya boleh diakses tetapi terdapat sebahagian maklumat kita disimpan dalam bentuk enkripsi atau ‘encrypted’.

  Biarpun maklumat berkenaan disimpan dalam bentuk maklumat terkod, tetapi masih wujud peluang dan ruang yang boleh dieksploitasi oleh individu yang diberikan akses semua peringkat.

  Pokok pangkalnya adalah integriti, jika individu yang memiliki akses berkenaan seorang yang berintegriti, maklumat yang tidak terkod akan tetap selamat namun jika individu itu mempunyai ‘kecurangan integriti’, maklumat terkod dengan pelbagai lapisan juga akan tersebar.

‘Bulletproof’ di alam siber?

Jelasnya, tiada vest kalis peluru atau bulletproof dalam mendepani masalah siber yang semakin kompleks, malah ia tidak bersifat malar, sebaliknya sering berubah mengikut keupayaan teknologi semasa.

  Contoh paling mudah adalah pada suatu ketika, kod TAC transaksi perbankan adalah yang paling selamat, namun tidak lagi pada ketika ini kerana pihak ketiga boleh melakukan pengklonan sim dan bermacam kaedah untuk ‘bypass’ ciri keselamatan itu.

  Dunia siber ini adalah dunia yang terlalu luas, terlalu kompleks, nyah-malar atau berubah-ubah dan bercirikan semasa.

  Keselamatan yang ditempa hari ini mungkin akan relevan untuk minggu ini saja, manakala memasuki minggu berikutnya, ia bukan lagi keselamatan yang ampuh.

  Begitulah dunia siber. Apapun juga, kita sudah lahir dan hidup pada zaman ini dan pengguna perlu bijak mendepani masalah ini.

Jangan jadi mangsa penipuan alam siber!