Aduan

Lawatan Hormat MCCA ke Pejabat Menteri Kementerian Komunikasi: Usaha Perkukuh Kerjasama dalam Menangani Isu Siber

Pada 26 Ogos 2024, Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) telah mengadakan lawatan hormat ke pejabat YB Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, di Putrajaya. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha MCCA untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan pihak kerajaan dalam menangani isu-isu siber yang semakin meruncing.

Delegasi MCCA yang hadir dalam pertemuan ini termasuklah Dato’ Ahmad Noordin (Pengerusi), Siraj Jalil (Presiden), Azrul Zafri (Timbalan Presiden), dan Dato’ Ayu (Setiausaha). Pertemuan ini menjadi platform penting untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan keselamatan siber dan inisiatif yang sedang serta akan dilaksanakan oleh MCCA.

Antara isu utama yang diusulkan termasuklah penubuhan MCCA serta pencapaian program-program yang telah dilaksanakan sejak penubuhannya. Salah satu program penting yang dibincangkan ialah cadangan Program Sukarelawan Siber (Cyber Volunteer) yang telah dikemukakan oleh MCCA kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Menteri Komunikasi & Multimedia pada tahun 2019. Program ini bertujuan untuk melibatkan lebih ramai sukarelawan dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber di kalangan masyarakat.

Selain itu, MCCA turut membentangkan beberapa program yang sedang dirancang, termasuk:

  1. Smart Scam Survivor Campaign: ANTI SCAM ARMY
    Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai penipuan siber (scam). Antara kerjasama yang dirancang adalah melibatkan MCCA, Datin Fauziah Ramly (Scam Survivor), Meg Richy (Pakar Psikoterapi), dan En. Ahmad Faizal Zulkifli (CEO Yayasan Digital Malaysia). Program ini akan ditaja oleh CelcomDigi dan disasarkan kepada hos TV, DJ radio, serta wartawan dari Jabatan Penerangan dan Jabatan Penyiaran.
  2. Kerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi: LitDIGITAL
    Program ini adalah hasil kerjasama antara MCCA dan Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), dengan kerjasama strategik bersama UiTM Shah Alam (Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media). Program ini bertujuan untuk meningkatkan literasi digital di kalangan mahasiswa melalui kempen kesedaran dan inisiatif sukarelawan siber.
  3. Maksiat Siber
    MCCA turut merancang untuk bekerjasama dengan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) dalam menyebarkan kesedaran mengenai maksiat siber, satu isu yang semakin membimbangkan dalam kalangan pengguna internet.

YB Menteri Komunikasi menyatakan sokongan penuh terhadap usaha-usaha MCCA dan menekankan kepentingan kerjasama yang berterusan dalam menangani cabaran dunia digital yang semakin kompleks. MCCA berharap dengan sokongan ini, usaha untuk memperkukuh keselamatan dan literasi digital di Malaysia akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.