Aduan

(#HarapanBajet2023) – Perkemas rangkaian telekomunikasi dan 5G

Menjelang pembentangan Bajet 2023, pastinya ramai dalam kalangan pengguna mahu kerajaan terus komited dalam memperkemaskan sistem jaringan telekomunikasi sedia ada.

  Pada masa sama, fokus juga harus diberikan kepada pengkomersialan rangkaian telekomunikasi 5G yang menjadi masa depan industri atau ‘industrial enabler’.

  Rata-rata pengguna juga mengharapkan bahawa perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi menerusi bentuk jalur lebar diperkukuhkan di kawasan luar bandar atau mana-mana kawasan yang berada di luar lingkungan capaian Internet Optik.

  Selain daripada itu, harapan pengguna masih terarah kepada penurunan sewa bulanan untuk pakej Internet Fiber Optik yang masih dilihat ‘mahal’ ketika ini.

  Sebelum itu, pelaksanaan jaringan telekomunikasi termaju iaitu 5G berada pada tahap 33 peratus merangkumi lapan kawasan di seluruh negara.

  Lapan kawasan itu adalah Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Penang and Sabah.

  Difahamkan bahawa pelaksaan 5G di Sarawak masih di peringkat perbincangan antara Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerajaan negeri Sarawak.

  Menerusi satu laporan media, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menjelaskan bahawa pelaksaan di beberapa kawasan di Lembah Klang tidak berdepan dengan banyak masalah.

  Bagaimanapun, beliau mengakui wujud masalah dalam pelaksanaan membabitkan negeri-negeri kerana ada prosedur dan peraturan yang perlu dipenuhi.

  Beliau juga menyatakan bahawa lebih daripada 2,100 kawasan dalam fasa persediaan untuk beralih kepada 5G yang menawarkan lebih ketersambungan dan kestabilan.