Aduan

Harapan disandarkan kepada Fahmi Fadzil

Pelantikan Fahmi Fadzil sebagai Menteri Komunikasi dan Digital di dalam kabinet Kerajaan Perpaduab diharapkan membawa sinar baru kepada dunia multimedia di negara kita.

Sudah pasti, tumpuan terarah kepada kemampuan Fahmi, yang sebelum ini dikenali sebagai seorang yang aktif di dalam media sosial untuk mengambil inisiatif mewujudkan akta keselamatan siber seperti yang diharapkan banyak pihak.

Apatah lagi, Fahmi sendiri pernah berdepan isu keselamatan siber selepas ibunya menjadi mangsa scammer hingga kehilangan ribuan ringgit sebelum ini.

Kerajaan baharu yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim setakat ini menunjukkan keprihatinan kepada masalah rakyat, dan tentunya masyarakat mengharapkan agar sesuatu dapat dilakukan untuk perkara berkaitan siber dan digital.

Jika sebelum ini kita mengharapkan seseorang dari peringkat menteri atau pembuat dasar memahami keperluan wujudnya akta khusus berkaitan keselamatan digital, kali ini sesuai dengan kabinet baharu, kita harap ia menjadi kenyatan.

Setiap hari termasuk hari ini pun, masih ada yang menerima mesej Telegram meminta wang dimasukkan ke satu akaun milik scammer.

Seolah-olah galak pula scammer melakukan kegiatan salah itu seperti tidak ada sebarang tindakan daripada pihak berkuasa.

Soalnya, apakah kita perlu tunggu menteri atau kakitangan kanan kementerian sendiri jadi mangsa baru hendak bertindak?