TIDAK keterlaluan jika dikatakan setiap individu pada hari ini memiliki telefon pintar, malah mungkin ada dalam kalangan pengguna yang mempunyai lebih daripada satu peranti.
Kadar penembusan internet yang tinggi juga menyumbang kepada pengembangan pemilikan peranti pintar ini berbanding beberapa dekad lalu.
Ia juga menjadi pendorong kewujudan pelbagai platform media sosial dan yang paling diminati golongan muda serta kanak-kanak pada hari ini adalah platform TikTok yang popular dengan video pendek.
Aplikasi media sosial seperti TikTok bukan sahaja menjadi platform hiburan, tetapi juga memainkan peranan penting dalam membentuk budaya dan persepsi masyarakat, terutama kanak-kanak.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, meskipun TikTok memberi peluang untuk mengekspresikan kreativiti, platform ini turut membawa ancaman tertentu yang perlu diambil berat.
“Pertama sekali, salah satu kebimbangan utama adalah paparan kepada kandungan yang tidak sesuai.
“Walaupun TikTok mempunyai penapis kandungan, masih ada kelompangan di mana video yang mengandungi unsur-unsur tidak sesuai dapat lolos.
“Hal ini boleh memberi kesan negatif kepada psikologi dan pembentukan moral kanak-kanak,” katanya.
Selain itu, Siraj berkata, pengaruh rakan sebaya platform ini sangat kuat sehingga kanak-kanak mudah terpengaruh dengan trend dan cabaran yang ada di TikTok.
Beliau berkata, trend berkenaan mendorong mereka melakukan tindakan berisiko seperti cabaran yang membahayakan kesihatan atau keselamatan diri.
“Masalah keselamatan diri juga menjadi kebimbangan utama. Kanak-kanak mungkin tidak menyedari bahaya berkongsi maklumat peribadi di ruang siber. Ini termasuk lokasi, sekolah, dan maklumat lain yang boleh dimanfaatkan individu yang berniat jahat.
“Keterdedahan yang berlebihan kepada media sosial, terutama TikTok, juga boleh mencetuskan masalah kesedaran citra badan.
“Dengan aliran video yang memaparkan kehidupan ‘sempurna’, citra diri kanak-kanak boleh terjejas dan ini boleh membawa kepada masalah kesihatan mental seperti kemurungan atau gangguan makan,” katanya.
Menurutnya, satu lagi ancaman yang tidak kurang pentingnya adalah ketergantungan dan gangguan tidur.
Katanya, TikTok dengan algoritma yang pintar, dapat terus menyajikan kandungan yang menarik perhatian kanak-kanak sehingga mengganggu rutin tidur mereka.
“Perkembangan kanak-kanak yang terdedah dengan kandungan tidak sesuai dan pengaruh negatif daripada TikTok boleh membawa kepada pembentukan generasi yang kurang peka, mudah terpengaruh dan mungkin kurang berdaya saing dalam menghadapi cabaran kehidupan sebenar.
“Sebagai masyarakat, kita perlu peka terhadap ancaman ini, malah ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan penting dalam mendidik kanak-kanak berkenaan cara menggunakan media sosial dengan bijak.
“Pendidikan digital perlu diintegrasikan dalam kurikulum pendidikan untuk memastikan kanak-kanak kita dilindungi daripada ancaman siber,” katanya.
Katanya, secara kesimpulannya, semua pihak perlu sentiasa berwaspada terhadap ancaman yang datang dengan mana-mana platform media sosial serta mengawasi setiap kandungan yang dilayari anak-anak.
Sumber: Harian Metro | Muhammad Saufi Hassan