Enstek, Negeri Sembilan | 28 Ogos 2025 – Presiden Malaysia Cyber Consumer Association (MCCA), Encik Siraj Jalil, telah tampil sebagai penceramah utama dalam Seminar Kajian Pelan Tindakan Menangani Ancaman Jenayah Siber Negara dengan membawakan tajuk yang amat kritikal:
“SIMKAD KELDAI (Mule SIM Card) sebagai Pendorong Utama Jenayah Siber (Cybercrime Enabler) – Keperluan Integrasi MyDigital ID dengan Proses Identifikasi SIM sebagai Mandatori Nasional.”
Seminar yang berlangsung di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Enstek ini dianjurkan oleh Institut Keselamatan Awam Malaysia (IPSOM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Program ini merupakan sebahagian daripada usaha strategik negara dalam merangka pelan tindakan komprehensif menangani ancaman jenayah siber yang semakin kompleks dan mencabar.

SIMKAD KELDAI: Akar Masalah Scam di Malaysia
Dalam pembentangannya, beliau menegaskan bahawa SIMKAD KELDAI kini menjadi akar kepada permasalahan scam di Malaysia. Penjenayah siber mengeksploitasi SIM yang didaftarkan atas nama pihak ketiga bagi menjalankan aktiviti penipuan, seterusnya menjejaskan keberkesanan pengesanan oleh pihak berkuasa.
Bagi memberi kefahaman yang lebih jelas, beliau turut melakukan demonstrasi carian mule SIM card secara langsung bersama para peserta, yang membuka mata hadirin tentang betapa serius dan mudahnya penyalahgunaan SIM card berlaku di lapangan.

MyDigital ID Sebagai Penyelesaian Mandatori
Encik Siraj menekankan bahawa penyelesaian jangka panjang hanya boleh dicapai melalui integrasi MyDigital ID dengan proses identifikasi SIM.
“Selagi pengesahan identiti pemilik SIM card tidak dihubungkan secara langsung dengan MyDigital ID, selagi itu ruang manipulasi oleh penjenayah akan terus berlaku. Sudah tiba masanya integrasi ini dijadikan mandatori nasional,” tegas beliau.
Fokus Lain Dalam Pembentangan
Selain isu mule SIM card, Presiden MCCA turut menggariskan keperluan untuk:
- Pengawalan kendiri telco dengan pelaporan lebih tegas kepada MCMC;
- Latihan berterusan bagi meningkatkan kepakaran dan kapasiti sektor telekomunikasi;
- Kerjasama rentas agensi di peringkat nasional dan antarabangsa dalam membanteras jenayah siber.

Matlamat Seminar & Kajian
Seminar anjuran IPSOM (KDN) dengan kerjasama USIM ini merupakan sebahagian daripada kajian strategik negara yang dijalankan dari 25 Mac hingga 24 Oktober 2025, dengan objektif:
- Mengenal pasti ancaman jenayah siber dan keselamatan siber;
- Menyediakan Pelan Tindakan Nasional Menangani Ancaman Jenayah Siber;
- Mencadangkan penubuhan Pusat Pangkalan Data Bersepadu Jenayah Siber KDN.
Komitmen MCCA
Seminar yang menghimpunkan wakil kementerian, agensi penguat kuasa, NGO, badan berkanun dan pengamal media ini menjadi medan penting bagi MCCA menegaskan peranan mereka sebagai suara masyarakat siber.
MCCA komited untuk terus memperjuangkan isu akar umbi seperti SIMKAD KELDAI dan memperkukuhkan agenda keselamatan digital negara seiring dengan visi Malaysia Madani.

