Aduan

MCCA Perkukuh Peranan Counter Narrative Digital dalam Era AI

Melaka, 21 Ogos 2025 – Presiden Malaysian Cyber Consumer Association (MCCA), Tuan Siraj Jalil, telah dijemput untuk menyampaikan taklimat ringkas bertajuk “Counter Narrative (AI)” sempena Kursus Digital Warriors – Penerangan Media Digital (PMD) anjuran Wanita UMNO Melaka.

Kursus ini telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang menekankan kepentingan memperkukuh jati diri masyarakat dalam mendepani cabaran dunia digital yang semakin kompleks. Kehadiran beliau mencerminkan sokongan kerajaan negeri terhadap usaha memperkasakan rakyat dengan ilmu dan kemahiran digital.

Dalam pembentangan, Tuan Siraj menekankan tentang ancaman perang saraf politik serta bagaimana perang persepsi kini banyak dipengaruhi oleh teknologi kecerdasan buatan (AI). Beliau turut berkongsi strategi counter narrative yang boleh digunakan bagi menangkis maklumat palsu, manipulasi data, dan serangan persepsi yang berleluasa di media sosial.

“Hari ini, peperangan bukan lagi di medan tempur semata-mata, tetapi di ruang siber yang membentuk minda masyarakat. AI boleh menjadi senjata, tetapi dengan pendekatan yang betul, ia juga boleh menjadi benteng pertahanan kita,” jelas beliau.

Kursus Digital Warriors ini memberikan pendedahan kepada peserta mengenai strategi komunikasi digital, teknik menghasilkan kandungan berkesan, serta langkah bijak menghadapi cabaran maklumat yang tidak sahih di alam maya.

Melalui penglibatan dalam program sebegini, MCCA terus beriltizam memperkukuh kesedaran masyarakat dan ketahanan digital negara, seiring visi untuk menjadikan pengguna siber lebih bijak, beretika, dan berdaya saing dalam era teknologi masa kini.