Kuala Terengganu, 19 Jun 2025 – Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2025 anjuran pelbagai agensi keselamatan dan institusi negara telah membuka tirai siri jelajah tahun ini di Negeri Terengganu Darul Iman dengan jayanya. Bertempat di Auditorium Mahyuddin, Fakulti Perniagaan, Ekonomi & Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), program ini berlangsung selama dua hari, pada 18 dan 19 Jun 2025.
Lebih 300 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk pegawai ICT Kerajaan Negeri, kakitangan akademik, mahasiswa serta komuniti setempat telah hadir menunjukkan komitmen terhadap usaha bersama membanteras jenayah scam yang kian meruncing.

Majlis perasmian disempurnakan oleh YBhg. Profesor Ts. Dr. Noor Maizura binti Mohamad, Pro Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat dan Digital), UMT yang turut menzahirkan sokongan institusi pendidikan tinggi terhadap agenda kesedaran siber nasional.
Program padat selama dua hari ini telah mempersembahkan pelbagai pengisian penting, termasuk bengkel keselamatan siber, sesi taklimat, forum interaktif serta perkongsian pengalaman daripada agensi-agensi utama negara seperti CyberSecurity Malaysia, Bank Negara Malaysia, Tiktok, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM, dan Association of Islamic Banking & Financial Institutions Malaysia (AIBIM).

Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) turut diberi kepercayaan untuk berkongsi kepakaran dalam sesi taklimat khas bertajuk “Memahami Jenayah Siber Malaysia” yang telah disampaikan oleh SAC (B) Dato’ Ahmad Noordin Ahmad, Pengerusi MCCA. Dalam pembentangannya, beliau menekankan keperluan untuk meningkatkan literasi digital pengguna serta mengenalpasti corak dan evolusi jenayah siber yang semakin kompleks di Malaysia. Mesej utama beliau adalah bahawa pendidikan, pendedahan dan pemerkasaan pengguna merupakan kunci utama dalam memperkukuh ketahanan masyarakat terhadap penipuan siber.
Turut memeriahkan program ialah Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) yang membuka reruai pameran serta menyampaikan sesi bual bicara bertajuk “Media Sosial & MADANI” yang disampaikan oleh Prof. Dato’ Dr. Mohamad Fauzan bin Noordin, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Siber MCPF merangkap ahli Exco MCPF. Kehadiran Dato’ Dr. Mohamad Zaini bin Haji Md. Taha, Timbalan Pengerusi MCPF Terengganu juga menyerlahkan lagi sokongan padu terhadap program ini.

Sebagai destinasi pertama siri jelajah tahun 2025, Terengganu menjadi permulaan kepada misi besar yang telah digerakkan sejak tahun 2023 dan 2024. Kejayaan penganjuran kali ini sekali lagi membuktikan bahawa pendekatan bersemuka dengan masyarakat setempat mampu memberi impak besar dalam meningkatkan kesedaran serta menyampaikan mesej pencegahan jenayah scam dengan lebih berkesan.
MCCA terus komited untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam memperkukuh ekosistem keselamatan siber negara dan akan terus memainkan peranan aktif dalam setiap inisiatif yang mendekatkan mesej keselamatan digital kepada rakyat.
