Dalam siri sebelum ini kita sudah faham bagaimana digitalisasi menjadi salah satu daripada sumber rezeki.
Kita juga sudah faham bagaimana seseorang boleh menjana pendapatan sama ada sepenuh masa atau sambilan menggunakan teknologi di hujung jari.
Namun, seperkara yang harus kita beri perhatian adalah isu jenayah siber yang agak membimbangkan dalam negara kita.
Secara umumnya, ia bukan saja mengancam ekonomi individu, bahkan institusi keluarga, syarikat dan kerajaan memberi kesan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Sebagai contoh individu yang menjadi mangsa scam dalam talian atau akaun perbankan mereka digodam melalui perlbagai cara, sudah tentu wang simpanan mereka akan lesap dan ia memberikan kesulitan untuk berbelanja perkara penting.
Bagi syarikat, sekiranya pengkalan data mereka digodam atau menerima serangan “ransomware” sudah pasti ia memberi kesan buruk kepada operasi perniagaan mereka ditambah reputasi yang boleh terjejas.
Banyak maklumat penting, data dan apa saja berkaitan perniagaan terdedah kepada pihak ketiga yang mungkin menggunakannya untuk tujuan sabotaj dan sebagainya.
Bagi organisasi kerajaan, serangan jenayah siber yang mungkin berlaku dari dalam disebabkan “misintegrity” atau serangan penggodaman dari luar mampu memberi kesan berantai kepada penerima perkhidmatan kepada rakyat yang berurusan.
Merujuk laporan PDRM yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri KDN pada 11 Ogos lalu, mangsa jenayah siber kerugian sebanyak RM560 juta, menjadikan jenayah siber di ranking pertama di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.
Pada tahun 2018, satu kajian dibuat oleh Microsoft dengan kerjasama Frost & Sullivan menyatakan, Malaysia berpotensi kerugian lebih USD 12.2 bilion (RM 54.9 bilion, nilai tukaran semasa terhadap serangan siber mewakili empat peratus dari KDNK negara.
Laporan ini jelas menunjukkan, ancaman siber adalah aspek utama pada masa kini yang membolehkan ekonomi negara terjejas.
Justeru, apa yang perlu dilakukan? Adakah hanya menggunakan segala kemudahan dan meninggalkan beban tanggungjawab mengenai kegiatan salah ini kepada pihak berkuasa semata-mata?
Sampai masanya kita tanamkan rasa benci kepada jenayah siber kerana saban hari ada saja mangsa scammer kerugian ratusan ribu ringgit tanpa belas kasihan.
Kalau dulu, peragut bermaharajalela di jalanan, merentap beg mangsa, kini penjenayah hanya duduk di depan komputer atau laptop, menekan papan kekunci dan tersenyum melihat wang keluar dari akaun mangsa.
Kalau dibiarkan berterusan, maka lumpuhlah negara.