Pada 29 April 2025 yang lalu, SMK Bukit Rokan di Gemencheh, Negeri Sembilan telah menjadi lokasi kedua bagi pelaksanaan program Literasi Digital (LitDigital) anjuran bersama Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Yayasan Negeri Sembilan dan Majlis Guru Kaunseling Negeri Sembilan (MGKK) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.

Sekolah ini yang mempunyai lebih kurang 200 orang pelajar menjadi medan penting dalam menyampaikan mesej kesedaran digital khususnya berkaitan etika, keselamatan dan tanggungjawab penggunaan teknologi dalam kalangan remaja. Program ini merupakan sebahagian usaha menyeluruh MCCA dalam memperluas pendidikan siber ke sekolah-sekolah luar bandar.
Program dimulakan dengan sesi ceramah interaktif yang disampaikan oleh fasilitator MCCA, En. Rahmat Al-Aziz. Dengan gaya penyampaian yang santai dan mudah difahami, beliau menyampaikan pelbagai topik penting termasuk:
- Literasi digital dalam kehidupan remaja
- Etika & keselamatan semasa berkomunikasi atas talian (Netiket)
- Kenali berita palsu dan cara menyemak kesahihannya
- Bahaya mendedahkan maklumat peribadi
- Ancaman siber seperti ‘grooming’ dan ‘doxxing’
- Simulasi lakonan identiti palsu atas talian
- Kuiz interaktif: “Selamat atau Tidak?”


Program ini turut menyaksikan sesi serahan buku oleh wakil Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) kepada pihak sekolah sebagai bahan rujukan dan pendidikan berterusan. Dua buah buku yang disumbangkan ialah:
- 10 Langkah Mudah Kesedaran Keselamatan Siber
- Panduan Keibubapaan Siber

Kehadiran dan kerjasama erat pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, NACSA, Yayasan Negeri Sembilan, MGKK, PIBG dan pihak sekolah menunjukkan bahawa usaha meningkatkan kesedaran siber tidak seharusnya terhad kepada kawasan bandar sahaja.
MCCA komited untuk terus memperluas capaian program LitDigital ke lebih banyak sekolah, demi membentuk generasi celik digital yang selamat, beretika dan bertanggungjawab di alam siber.


