Melaka, 12 April 2025 – Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Encik Siraj Jalil telah dijemput sebagai salah seorang panelis terhormat dalam Seminar Undang-Undang 2025 anjuran Multimedia University Law Society (MULS) bertempat di Persada Dunia, Universiti Multimedia (MMU) Melaka.
Bertemakan “Artificial Intelligence (AI) in Judicial Decisions: Justice Through Technology”, seminar ini menghimpunkan para pelajar, akademik dan profesional undang-undang bagi membincangkan implikasi dan potensi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem kehakiman negara.

Encik Siraj Jalil telah mengambil bahagian dalam sesi pertama seminar bertajuk “Ethical Dilemmas in AI Driven Decision Making”. Dalam sesi forum yang dikendalikan secara perbincangan terbuka, beliau berkongsi pandangan dan pengalaman berkaitan isu etika dalam penggunaan AI dalam membuat keputusan undang-undang serta kepentingan pematuhan terhadap prinsip keadilan, ketelusan dan tanggungjawab dalam pembangunan teknologi.
Sebagai seorang yang aktif dalam bidang teknologi maklumat dan juga Pengarah sebuah bank digital, SJD Limited, Encik Siraj turut menekankan kepentingan kerjasama antara pakar teknologi, penggubal dasar dan pengamal undang-undang bagi memastikan penggunaan AI dalam sistem kehakiman tidak menjejaskan integriti keadilan mahkamah.

Seminar yang menghimpunkan lebih 250 peserta ini juga telah merangkumi sesi kedua bertajuk “Adapting into the Evolving Impact on Legal Professionals”, yang menyentuh tentang bagaimana para pengamal undang-undang perlu bersedia menghadapi perubahan landskap digital dalam profesion mereka.
MCCA mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur, Multimedia University Law Society (MULS), atas jemputan ini. Komitmen berterusan MCCA dalam menyumbang kepada wacana awam berkaitan kesedaran dan perlindungan pengguna dalam dunia digital sejajar dengan matlamat utama penubuhan persatuan ini.

