Aduan

‘Scammer’ tak kira siapa

Pendedahan Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil mengenai kisah ibunya yang menjadi mangsa scammer sehingga kerugian RM75,000 seharusnya membuka mata banyak pihak.

Sudah sampai masanya negara dilindungi dengan satu akta khusus bagi mengekang scammer dari terus bermaharajalela tanpa sebarang tindakan tegas dari pihak berautoriti.

Bukan kerana dia ibu ahli Yang Berhormat, tetapi isunya lebih kepada bagaimana scammer ini mudah melakukan ‘kerja’, mengaut untung mudah tanpa memikirkan kesan kepada mangsa.

Dalam keadaan biasa, tentulah RM75,000 itu terlalu besar kepada sebahagian besar orang, malah ada yang tidak sempat merasa mempunyai wang sebanyak itu sepanjang hidupnya.

Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata berpandangan pihak berkuasa perlu memberikan penjelasan kepada pengguna siber supaya tidak merasa terancam dengan situasi ketika ini.

Data pengguna di negara ini dilihat seolah tidak dijaga seperti kes berlakunya penjualan data oleh pihak penyedia telekomunikasi sendiri kepada sindiket dan insiden penggodaman sistem imigresen.

Sebelum ini sistem kerajaan pernah diserang Anonymous Malaysia sebanyak dua kali, menunjukkan ada pihak ketika yang dengan mudah boleh menerobos sistem siber negara.

Inilah masanya kita atasi kelemahan yang ada dalam melindungi data pengguna dengan memperkenalkan akta khusus untuk jenayah siber.

Atau jika dikembangkan lagi, tidak salah sekiranya cadangan penubuhan jabatan siber di seluruh negara diambil kira oleh kerajaan.