Sebagai langkah mengurangkan kebergantungan pada platform digital luar negara, wujud cadangan daripada beberapa pihak agar kerajaan membangunkan platform digital sendiri.
Platform digital merujuk sistem atau ekosistem dalam talian yang membolehkan interaksi, transaksi dan pertukaran maklumat antara pengguna, perniagaan atau perkhidmatan melalui teknologi digital. Platform ini boleh berbentuk laman web, aplikasi mudah alih, perisian atau rangkaian dalam talian yang menyediakan akses kepada kandungan, produk dan perkhidmatan secara maya.
Antara platform digital ini ialah media sosial, e-dagang, perkhidmatan digital, Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi, pembelajaran dalam talian serta perbankan dan kewangan digital.
LINDUNG KEDAULATAN DIGITAL NEGARA
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini pernah dilaporkan berkata kerajaan akan meneliti cadangan mewujudkan aplikasi media sosial yang khusus bagi kegunaan rakyat seperti yang sedang diusahakan oleh beberapa negara.

Menurut beliau, ini kerana ada antara penyedia aplikasi media sosial didapati mengaut keuntungan daripada rakyat di negara ini, namun pada masa sama gagal menjamin soal keselamatan penggunanya.
Mengulas perkara itu, Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia Ts Azrul Zafri Azmi berkata Malaysia wajar membangunkan platform digital sendiri kerana kebergantungan pada syarikat teknologi luar menimbulkan risiko terhadap kedaulatan digital negara.
Mengambil contoh kejadian sebelum ini apabila TikTok menyekat akaun beberapa media utama Malaysia, beliau berkata secara langsung insiden itu menunjukkan syarikat asing berkuasa dalam menentukan apa yang boleh dan tidak boleh disiarkan kepada rakyat Malaysia, walaupun melibatkan media arus perdana negara.
“Jika Malaysia mempunyai platform digital sendiri seperti media sosial, e-dagang, AI dan teknologi, kebebasan media dan ruang bersuara rakyat lebih dapat diselarikan dengan nilai tanggungjawab, etika dan berdasarkan kepentingan rakyat serta negara secara keseluruhannya, sekali gus mengelakkan apa yang dikatakan ‘penjajahan digital’.
“Perkara ini lebih kepada kita tidak perlu mengikut telunjuk platform asing melebihi daripada undang-undang negara sendiri,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Azrul Zafri menambah platform luar mengumpul data rakyat Malaysia secara besar-besaran termasuk maklumat peribadi, corak perbelanjaan dan kecenderungan politik, dan sekiranya jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab, data ini boleh digunakan untuk tujuan komersial dan manipulasi termasuk berisiko mengancam kestabilan negara.
“Ketika ini keuntungan daripada platform asing lebih banyak mengalir keluar berbanding membantu ekonomi Malaysia sendiri. Jika kita mempunyai ekosistem digital sendiri, pendapatan ini boleh kekal dalam negara selain memberi manfaat kepada syarikat tempatan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” katanya.
AI KONTEKS MALAYSIA
Berpendapat Malaysia mempunyai ramai tenaga pakar teknologi dan bakat dalam bidang digital, namun katanya mereka memilih untuk bekerja dengan syarikat luar atas faktor pendapatan lumayan yang ditawarkan.

Katanya, beberapa syarikat tempatan berjaya membuktikan kemampuan mereka dalam bidang digital antaranya Carsome, sebuah platform e-dagang automotif terbesar di Asia Tenggara; Aerodyne, antara syarikat dron dan teknologi data terbesar di dunia; dan SAYAJUAL.IO, sebuah platform perdagangan sosial tempatan yang menyokong perniagaan kecil dan mikro tanpa bergantung pada platform luar.
Turut menyentuh cabaran utama dalam membangunkan model AI yang memahami dan menyokong bahasa serta dialek tempatan, Azrul Zafri berkata AI perlu diasaskan pada data dalam konteks budaya Malaysia, bukan sekadar meniru model barat yang mungkin tidak sesuai dengan nilai dan budaya tempatan.
Untuk tujuan itu, kerjasama antara kerajaan, ahli akademik dan sektor swasta diperlukan bagi memastikan AI yang dibangunkan di Malaysia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi negara.
“Antara isu utama ialah kekurangan data kerana AI memerlukan jumlah data yang besar untuk memahami bahasa dan dialek tempatan seperti Kelantan, Sabah dan Sarawak. Pada masa ini, kebanyakan model AI global tidak mengutamakan bahasa Melayu, apatah lagi dialek tempatan.
“Model AI juga perlu dibina dengan prinsip ketelusan, keadilan dan tanpa berat sebelah terhadap mana-mana kumpulan masyarakat. Selain itu, Malaysia memerlukan lebih ramai pakar dalam bidang Pemprosesan Bahasa Semula Jadi (NLP) untuk membangunkan model AI yang boleh memahami konteks bahasa Melayu dengan lebih tepat.
“Tidak dinafikan model AI memerlukan infrastruktur pengkomputeran yang kuat, termasuk pusat data dan Unit Pemproses Grafik (GPU) yang mahal. Kebanyakan syarikat tempatan masih bergantung pada penyedia luar seperti syarikat AWS dan Google Cloud yang meningkatkan kos pembangunan AI,” katanya, mengakui pembangunan AI memerlukan pelaburan yang besar bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan.
Beliau pada masa sama menambah kerajaan boleh memastikan AI tempatan selamat dan tidak disalahgunakan melalui penggubalan dasar yang menjamin teknologi itu digunakan secara beretika dan tidak menjejaskan keselamatan negara.
Ini katanya termasuk menubuhkan badan pemantauan AI nasional untuk menilai risiko keselamatan dan privasi AI, di samping peranan badan bukan kerajaan dan ahli akademik dalam mendidik masyarakat berhubung kepentingan literasi digital serta kesedaran keselamatan siber dalam menggunakan teknologi itu.
PERHALUSI MATLAMAT
Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad menyifatkan secara umumnya idea membangunkan platform digital sendiri sebagai satu usaha yang inovatif dan berpotensi dari segi pengembangan sosioekonomi negara.

Bagaimanapun beliau berkata matlamat utamanya bagi negara harus diperhalusi.
“Apakah pembangunan platform digital ini lebih bermatlamatkan ekonomi atau sosial? Sekiranya bermatlamat untuk mengembangkan ekonomi umpamanya, seperti menawarkan alternatif kepada platform e-dagang sedia ada, ia sesuatu yang sangat berpotensi.
“Langkah ini bukan sahaja dapat meningkatkan ekosistem ekonomi digital tempatan. Dengan adanya platform digital perdagangan tempatan, pelbagai usaha dapat digarap untuk meningkatkan dan melestarikan kelangsungan pengusaha tempatan. Di samping itu, usaha tersebut dapat memantapkan lagi kawalan aliran ekonomi ke luar di samping mampu memperkukuh percukaian negara.
“Namun jika langkah memperkenalkan platform digital sendiri adalah bermatlamatkan kawalan sosial khususnya di media sosial, ini perlu diteliti dengan lebih mendalam akan kewajarannya. Hal-hal kawalan sosial sangat berkait rapat dengan sikap pengguna. Memperkenalkan pelantar digital tempatan hanyalah antara satu strategi mengurus permasalahan tersebut tetapi bukanlah menanganinya secara total,” katanya.
Mohd Khairie berkata Malaysia mempunyai pelantar e-dagangnya tersendiri lebih 25 tahun lalu.
“Ramai yang tidak sedar bahawa pelantar e-dagang Lelong.my telah beroperasi sejak 1998 lagi. Selain itu, negara turut mempunyai beberapa lagi pelantar digital dagangan seperti Mudah.my, PGMall dan Carousell Malaysia.
“Beberapa contoh ini membuktikan Malaysia sebenarnya berkeupayaan dalam menawarkan pelantar digitalnya yang tersendiri. Tidak mustahil untuk dibangunkan pelantar digital yang lebih inovatif dan meluas seiring dengan perkembangan teknologi AI serta dasar digital negara yang proaktif,” katanya.
TINGKAT KESELAMATAN SIBER
Berkongsi pandangan, Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) Ir Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata pewujudan platform digital sendiri khususnya media sosial, tidak menjamin keselamatan siber negara dapat ditangani sepenuhnya.

Namun begitu, dengan adanya platform media sosial sendiri, Malaysia dapat mengawal aspek keselamatan siber platform tersebut dengan lebih menyeluruh.
“Sebagai contoh, dengan memiliki kod sumber sendiri, kita berupaya menyemak dan mengenal pasti kelemahan platform tanpa bergantung pada pihak luar, sekali gus dapat mengambil tindakan lebih pantas bagi mengurangkan risiko kepada pengguna,” katanya.
Beliau berpendapat kejayaan platform ini bergantung pada tiga elemen utama, iaitu pakar tempatan yang berintegriti dan berkemahiran tinggi; proses rangka kerja dan akauntabiliti yang jelas bagi setiap pihak berkepentingan; dan teknologi yang stabil, maju serta boleh dipercayai.
“Di samping itu, tata kelola yang telus serta kerjasama antara sektor awam dan swasta penting bagi membangunkan ekosistem digital yang kukuh dan saling melengkapi.
“Malaysia boleh melaksanakan mekanisme kawalan identiti yang lebih baik dengan mewajibkan pengesahan pengguna melalui MyDigital ID. Langkah ini dapat mengurangkan penyalahgunaan platform digital, termasuk aktiviti penipuan dalam talian dan penyebaran maklumat palsu,” katanya.
Sumber : BERNAMA ( https://bernama.com/bm/news.php?id=2402284 )