Aduan

Malaysia Cyber Consumer Association (MCCA) Terus Mengorak Langkah di Pentas Antarabangsa Melalui DCCI Expo 2026

KUALA LUMPUR, 13 Mei 2026 – Presiden Malaysia Cyber Consumer Association, Siraj Jalil telah dijemput oleh Tradepass sebagai moderator bagi sesi forum berprestij bertajuk “Cyber-Cloud Resilience: Malaysia’s Path to a Future-Ready Digital Era” sempena 5th Edition of the Datacentre and Cloud Infrastructure (DCCI) Expo 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Program anjuran Tradepass ini menghimpunkan pemain industri teknologi, keselamatan siber, infrastruktur awan (cloud), pusat data serta agensi kerajaan bagi membincangkan hala tuju transformasi digital dan ketahanan siber Malaysia pada masa hadapan.

Dalam sesi tersebut, Siraj Jalil telah mengendalikan perbincangan bersama panel-panel berpengalaman dari syarikat dan organisasi antarabangsa terkemuka, antaranya:

  • Rahayu Ramli, General Manager – Cyber Strategy, Architecture & Governance, PETRONAS
  • Kevin Hu, Senior Product Manager, Sangfor Technologies
  • Sina Manavi, Global Head for Cloud Security and Compliance, DHL

Antara topik utama yang dibincangkan dalam forum tersebut termasuk kepentingan memperkukuhkan ketahanan siber melalui kerjasama strategik dan amalan terbaik industri, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pengesanan ancaman serta pematuhan keselamatan digital, selain langkah-langkah masa hadapan dalam melindungi infrastruktur digital negara daripada risiko siber dan cloud yang semakin kompleks.

Penyertaan Siraj Jalil sebagai moderator dalam forum bertaraf antarabangsa ini membuktikan pengiktirafan terhadap peranan aktif Malaysia Cyber Consumer Association dalam memperjuangkan kesedaran keselamatan siber, pendidikan digital dan perlindungan pengguna siber di Malaysia.

MCCA percaya bahawa kerjasama erat antara sektor kerajaan, industri dan masyarakat adalah elemen penting dalam memastikan ekosistem digital negara kekal selamat, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran teknologi masa hadapan.