Kuala Lumpur, 6 Mei 2026 – Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) bersama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Persatuan Usahawan eDagang Malaysia (PUeDM) telah menganjurkan satu sidang media khas bertempat di Dewan Mesyuarat Anjung Melayu KL bagi membincangkan isu berkaitan Withholding Tax (WHT) yang semakin membebankan usahawan digital tempatan.
Sidang media tersebut diadakan sebagai platform untuk menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan cukai pegangan serta beberapa isu berkaitan ekosistem digital yang dilihat memberi tekanan besar kepada peniaga tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bergantung kepada platform digital luar negara bagi menjalankan perniagaan.

Antara agensi media yang hadir membuat liputan ialah Bernama, Sinar Harian, Harian Metro, The Malaysian Reserve dan Utusan Malaysia.
Dalam sidang media tersebut, wakil gabungan pertubuhan menegaskan bahawa usahawan tempatan kini berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk beban cukai berganda, peningkatan caj platform digital asing, serta persaingan tidak seimbang daripada produk rentas sempadan.
Menurut kenyataan bersama, ramai peniaga tempatan terpaksa menanggung sendiri kos WHT sebanyak 10% apabila platform digital luar negara seperti Meta dan TikTok tidak menerima pembayaran yang ditolak cukai. Situasi ini secara langsung menjejaskan aliran tunai serta margin keuntungan peniaga, lebih-lebih lagi apabila mereka turut dikenakan Cukai Perkhidmatan Digital (DST).

Selain itu, pihak gabungan turut menyuarakan kebimbangan terhadap kenaikan caj platform yang semakin tinggi tanpa kawalan serta lambakan produk import murah yang tidak tertakluk kepada syarat pematuhan yang sama seperti peniaga tempatan.
MCCA, DPMM dan PUeDM turut mengemukakan beberapa cadangan dan resolusi utama antaranya:
- Mengadakan sidang meja bulat segera melibatkan kementerian dan agensi berkaitan seperti KPDN, MOF, LHDN dan MCMC.
- Mempertimbangkan pengecualian WHT kepada PKS yang mempunyai pendapatan tahunan di bawah RM5 juta.
- Menggubal satu “Kertas Putih” bagi melindungi ekosistem digital tempatan daripada eksploitasi platform asing.
Penganjuran sidang media ini membuktikan komitmen MCCA bersama rakan strategik industri dalam memperjuangkan hak dan kebajikan pengguna serta usahawan digital negara agar ekosistem ekonomi digital Malaysia dapat berkembang secara lebih adil, mampan dan kompetitif.
MCCA berharap isu ini mendapat perhatian serius daripada pihak kerajaan demi memastikan masa depan usahawan digital tempatan terus terpelihara dalam landskap ekonomi digital yang semakin mencabar.







