TTDI, 26 Oktober 2024 – Kesedaran terhadap bahaya obsesi gajet dan media sosial dalam kalangan kanak-kanak semakin menjadi isu kritikal. Menyedari kepentingan menangani masalah ini, Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1 (SK TTDI 1) dengan usahasama Parlimen Segambut dan Yayasan KEN, serta kerjasama PDRM, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), dan Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) telah berjaya menganjurkan program “Kesedaran Obsesi Gajet dan Media Sosial.” Program ini berlangsung di The Space, Menara KEN TTDI, dengan sokongan kuat daripada pelbagai pihak.
Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibubapa dan komuniti setempat tentang kesan jangka panjang gajet dan media sosial kepada kanak-kanak, serta membuka ruang kepada ibubapa untuk lebih memahami isu-isu yang sering dihadapi dalam era digital ini. Program ini menarik kehadiran ramai ibu bapa dan guru-guru dari sekolah-sekolah sekitar Daerah Bangsar Pudu, yang jelas prihatin terhadap pengaruh negatif teknologi ke atas anak-anak mereka.
Isi Program dan Slot-slot Perkongsian
Dalam program ini, peserta diberi pendedahan melalui tiga slot yang berfokus kepada kesan dan cabaran penggunaan gajet serta media sosial:
- Slot 1: Penyalahgunaan Gajet dan Media Sosial dalam Kalangan Kanak-kanak dan Remaja oleh Insp. Rafi’uddin Bin Mohamad Rosli dari PDRM. Beliau berkongsi tentang risiko penyalahgunaan teknologi, terutamanya dalam aspek keselamatan dan jenayah siber yang melibatkan kanak-kanak.
- Slot 2: Abuse of Gadgets and Social Media – Impact Towards Children & Teenagers oleh En. Eugene Teow dari Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF). Perkongsian beliau memberi perspektif mendalam tentang kesan psikologi dan sosial yang berlaku akibat penggunaan gajet yang berlebihan.
- Slot 3: Penggunaan Peranti Digital Tanpa Kawalan: Kesan Psikologi Terhadap Kanak-kanak dan Remaja yang disampaikan oleh En. Siraj Jalil, Presiden MCCA. Dalam slot ini, En. Siraj menyentuh perasaan ramai ibu bapa dengan ucapannya yang penuh emosi mengenai kesan berpanjangan penggunaan gajet tanpa kawalan terhadap anak-anak. Beliau mengingatkan bahawa anak-anak yang tidak dipantau dalam penggunaan peranti digital cenderung mengalami masalah emosi dan kognitif. Banyak ibu bapa dilihat tersentuh dan terkesan dengan perkongsian beliau.
Sokongan dan Kerjasama Pelbagai Agensi
Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada pelbagai agensi yang turut serta dalam menjayakan program ini, termasuk:
- Yayasan KEN
- Majlis Perwakilan Penduduk Zon 2 Segambut
- PDRM
- Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)
- Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA)
- Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)
- OasisEye Specialist Sdn Bhd
- Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
- Jabatan Penerangan Malaysia
- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
Program Kesedaran Obsesi Gajet dan Media Sosial ini bukan sahaja memberi ilmu dan kesedaran kepada komuniti tetapi turut mengukuhkan ikatan kerjasama antara pelbagai pihak untuk menangani isu penyalahgunaan gajet. Program ini menjadi titik permulaan yang baik untuk membawa lebih banyak usaha dan inisiatif bersama ke arah memastikan kesejahteraan mental dan keselamatan digital kanak-kanak di masa hadapan.