Aduan

PRESIDEN MCCA DIJEMPUT SEBAGAI PANELIS ISTIMEWA DI FINTECH REVOLUTION SUMMIT 2025

Kuala Lumpur, 23 Julai 2025 – Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) berbesar hati mengumumkan bahawa Presiden MCCA, En. Siraj Jalil, telah menerima jemputan khas sebagai panelis di Fintech Revolution Summit (FRS) 2025 yang bakal berlangsung di Crowne Plaza Kuala Lumpur City Centre.

FRS 2025, yang dianjurkan oleh TraiCon Events, merupakan edisi ke-12 dan menghimpunkan lebih 200 pemimpin industri, pembuat dasar, pakar teknologi kewangan (fintech), serta tokoh sektor perbankan dan kewangan serantau. Bertemakan “Empowering Financial Innovation for a Digital Malaysia”, persidangan ini memberi fokus kepada inovasi teknologi kewangan, strategi pendigitalan perbankan, keselamatan siber, serta pembangunan ekosistem kewangan digital yang mampan.

Sebagai Association Partner, MCCA akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaringan strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan, di samping mengangkat suara pengguna siber dalam pembangunan sektor fintech negara. Penyertaan En. Siraj Jalil sebagai panelis dalam sesi bertajuk “Securing the Future of Finance: Strategies for Cyber Resilience in the BFSI Sector” akan menekankan kepentingan daya tahan siber (cyber resilience) dalam industri kewangan serta langkah-langkah strategik melindungi ekosistem perbankan digital daripada ancaman siber.

Acara ini turut menampilkan tokoh-tokoh ternama seperti Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab (CEO CyberSecurity Malaysia), Dr. Siew Chan Cheong (Maybank), Raja Teh Maimunah (AEON Bank), dan ramai lagi. Kehadiran pemimpin industri ini bakal menjadikan FRS 2025 sebagai pusat tumpuan utama bagi perbincangan masa depan teknologi kewangan di Malaysia dan rantau ini.

Dengan penglibatan aktif MCCA di platform berprestij ini, diharapkan mesej kesedaran siber dan kepentingan perlindungan pengguna digital dapat disampaikan secara lebih meluas, selaras dengan misi MCCA untuk memperkasa pengguna siber di era digital.