MCCA
Graduan pada hari ini bukan saja bersaing semasa sendiri, malah mereka turut ‘bersaing’ dengan teknologi semasa khususnya bagi bot automasi berasaskan kepada Kecerdasan Buatan (AI) serta Machine Learning.
Lepasan institusi pengajian tinggi yang hanya mengharapkan kepada kecemerlangan akademik semata-mata akan menghadapi waktu sukar untuk diterima masuk ke dalam industri.
Mereka perlu terdedah dengan teknologi semasa serta mempunyai ‘pakej’ yang lengkap untuk membolehkan diterima ke alam pekerjaan.
Untuk khidmat pelanggan, kebanyakan syarikat gergasi sudah menggunakan bot perbualan untuk menyelesaikan masalah asas dan hanya memerlukan tenaga kerja manusia untuk masalah teknikal.
Memetik laporan Metro Ahad, lebih 90,000 graduan berdepan dengan masalah pengangguran akibat kekurangaan peluang pekerjaan di samping pengeluaran lepasan universiti secara ‘berlebihan’ oleh institusi pendidikan tinggi tempatan.
Untuk rekod, secara purata, 224,000 graduan dilahirkan pada setiap tahun berbanding penawaran kerja berkemahiran tinggi hanya 127,000.
Oleh itu, bakinya iaitu lebih 90,000 graduan berdepan dengan masalah untuk memasuki alam pekerjaan akibat kekurangan penawaran pekerjaan berkemahiran tinggi.
Berdasarkan Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) mendedahkan bahawa wujud persaingan sengit untuk memasuki industri khususnya untuk pekerjaan berkemahiran tinggi yang sesuai untuk graduan lepasan institusi pengajian tinggi.
Kajian itu juga menyatakan bahawa penciptaan pekerjaan oleh ekonomi negara ini adalah sekitar 258,000 sehingga 326,000 merangkumi pekerjaan mahir, separa mahir dan berkemahiran rendah.
Daripada jumlah itu, pekerjaan berkemahiran tinggi yang khusus untuk graduan lepasan universiti adalah 127,000 saja manakala 198,000 adalah pekerjaan kategori separa mahir dan berkemahiran rendah.
Ini adalah senario semasa untuk memasuki alam pekerjaan dan graduan berdepan dengan cabaran besar pada ketika ini.