LANDSKAP digital negara kini melangkah ke era baru yang lebih terkawal dan bertanggungjawab dengan pelaksanaan pelesenan operasi media sosial yang berkuatkuasa 1 Januari 2025
Di bawah kerangka pelesenan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menetapkan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial mendapatkan lesen untuk beroperasi.
Tujuan utama pelaksanaannya adalah untuk menangani peningkatan jenayah siber seperti penipuan atau scam, judi dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terutama terhadap kanak-kanak.
Keperluan pelesenan ini terpakai kepada penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria pelesenan seperti mempunyai lebih lapan juta pengguna di negara ini.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, secara dasarnya pelaksanaan akta ini perlu disokong semua pihak kerana berkait dengan isu-isu kritikal dalam penggunaan media sosial pada masa ini.
“Akta ini berfungsi sebagai langkah perlindungan atau membentuk keselamatan dalam talian bagi seluruh rakyat Malaysia dengan memberi fokus kepada empat isu utama seperti yang ditetapkan MCMC.
“Justeru, semua pihak termasuk individu, organisasi kerajaan atau swasta serta penyedia perkhidmatan itu sendiri perlu menunjukkan sokogan bagi memastikan keberkesanan akta ini.
“Pelaksanaan akta ini juga bertujuan memudahkan pihak berkuasa melakukan siasatan jenayah terkait agar pendakwaan dapat dilakukan di mahkamah sekali gus menjadi faktor yang menyebabkan pelaku-pelakunya takut untuk melakukan kesalahan serupa,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Beliau turut menyentuh keperluan masyarakat untuk melaporkan kandungan yang melanggar undang-undang termasuk iklan judi, penipuan dalam talian, buli siber dan pornografi atau pedofilia.
“Langkah kerajaan ini juga selari dengan usaha meningkatkan kesedaran awam yang mempunyai tanggungjawab melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak berkuasa,” ujarnya.
Bagaimanapun Siraj turut menggariskan beberapa cabaran yang perlu diatasi bagi memastikan akta ini mampu mencapai objektif pelaksanaannya.
“Sebagai contoh, perlu ada penjelasan mengenai prosedur penguatkuasaan misalnya berkait bidang kuasa antara MCMC dan pihak polis. Jika pengguna media sosial mahu melaporkan sesuatu perkara, kepada siapa mereka perlu tuju.
“Adakah laporan boleh dibuat terus kepada pihak MCMC yang mempunyai kuasa terhadap pindaan akta ini atau perlu membuat laporan polis? Prosedur pindaan ini perlu ditekankan dan perlu jelas kepada rakyat.
“Jika proses ini boleh mempercepatkan proses perundangan, maka ia sangat menguntungkan pihak yang mungkin teraniaya untuk mendapatkan keadilan,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Siraj turut mencadangkan agar MCMC menerbitkan statistik jenayah siber secara berkala bagi memantau keberkesanan akta ini.
“Jika statistik jenayah siber menunjukkan penurunan dengan pelaksanaan akta ini, maka keyakinan rakyat terhadap kerajaan akan meningkat.
“Sebaliknya, jika statistik semakin meningkat, akta ini perlu dinilai semula. Ini cabaran yang perlu dibuktikan pada tahun 2025 ini,” tambahnya.
Dr-Saaidal-Razalli-Azzuhri
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sistem dan Teknologi Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya, Dr. Saaidal Razalli Azzuhri berkata, pelesenan platform media sosial oleh kerajaan merupakan langkah proaktif dalam menangani peningkatan jenayah siber.
“Dalam aspek perlindungan pengguna, langkah ini dapat meningkatkan keselamatan mereka dengan memastikan platform mematuhi undang-undang tempatan dan mengambil tindakan terhadap kandungan berbahaya.
“Bagi akauntabiliti platform pula, tindakan pelesenan mewajibkan platform bertanggungjawab terhadap kandungan yang disiarkan sekali gus mengurangkan penyebaran maklumat palsu dan aktiviti haram.
“Manakala dari segi penguatkuasaan undang-undang, ia memudahkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap platform yang gagal mematuhi peraturan dan memastikan ekosistem digital yang lebih selamat,” jelas beliau.
Bagaimanapun tambah Dr. Saaidal Razalli, terdapat juga beberapa isu berbangkit melalui pelaksanaan akta ini.
“Salah satunya ialah terdapat kebimbangan bahawa pelaksanaan akta ini mungkin menyekat kebebasan bersuara jika tidak dilaksanakan dengan teliti.
“Selain itu, ia juga mungkin menjadi beban kepada platform kecil yang mempunyai sumber terhad sekali gus menghadapi kesukaran memenuhi keperluan pelesenan yang menjejaskan inovasi.
“Tidak terkecuali masalah kekaburan garis panduan iaitu kekurangan kejelasan dalam peraturan akta ini boleh menyebabkan kekeliruan dan pelaksanaan yang tidak konsisten,” ungkapnya.
Beliau turut menasihatkan pengguna media sosial agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam berkongsi sebarang maklumat dan memastikan kesahihan sumber sebelum menyebarkannya.
“Kepada pengendali platform media sosial pula, mereka perlu memastikan platform yang diuruskan mematuhi semua undang-undang dan peraturan tempatan bagi mengelakkan sebarang tindakan.
“Mereka juga perlu meningkatkan mekanisme pemantauan untuk mengenal pasti dan menghapuskan kandungan berbahaya dengan lebih berkesan.
“Paling penting, pastikan bekerjasama rapat dengan kerajaan dan agensi berkaitan untuk memastikan persekitaran dalam talian yang selamat dan harmoni,” ujarnya.
Sumber : https://malaysiatribune.news/2025/01/02/pelesenan-media-sosial-demi-ekosistem-digital-lebih-selamat/
Untuk maklumat lanjut mengenai pelesenan akta itu, layari laman web www.mcmc.gov.my atau ikuti laman Facebok Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.