Aduan

Pelantikan KPISoft tidak teratur – Laporan PAC

Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) merumuskan bahawa pelantikan KPISoft (Entomo) sebagai pembangun aplikasi MySejahtera pada Mac 2020 didapati tidak teratur serta tidak berlandaskan prosedur atau tatacara perolehan kerajaan.

  Keputusan itu merupakan antara lapan rumusan yang dibuat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) susulan pembentangan Laporan Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera di bawah Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri di Parlimen pada Selasa.

  Berdasarkan laporan media menyatakan bahawa Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, pelantikan itu juga tidak mempunyai sebarang minit ataupun dokumen sokongan yang wujud berkenaan dengan pelantikan tersebut.

  Menurutnya, satu-satunya dokumen yang wujud adalah NDA yang ditandatangani antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi pihak kerajaan dengan KPISoft.

  “Rumusan kedua pula, konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dicadangkan oleh KPISoft (Entomo) telah menyebabkan kerajaan tidak jelas akan hala tuju sebenar perolehan aplikasi MySejahtera.

  “Dapatan keempat mendapati syarikat pembangun aplikasi MySejahtera pernah mencadangkan agar aplikasi ini dikomersialkan. Ini menunjukkan potensi aplikasi MySejahtera sebagai satu aplikasi nasional yang amat bernilai,” katanya.