Artikel Asal Daripada Harian Metro: https://www.hmetro.com.my/itmetro/2023/02/936156/mampu-kekang-pemalsuan
Kemajuan teknologi pada masa kini banyak menyelesaikan masalah, baik urusan harian sehingga kepada masalah berunsur jenayah.
Beberapa hari lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan aplikasi digital untuk cukai jalan serta lesen pemandu sekali gus tidak mewajibkan untuk menampal cukai jalan pada cermin kenderaan.
Ia adalah satu langkah ke arah digitalisasi di negara ini dan perkara berkenaan disambut baik oleh semua pengguna jalan raya yang melihat menampal cukai jalan sudah tidak relevan lagi pada masa kini.
Penyeragaman data maklumat pengguna dengan aplikasi MyJPJ berkenaan memberikan aplikasi berkenaan kefungsian yang lebih efisien untuk pengguna.
Biarpun wujud sedikit masalah untuk pendaftaran masuk pengguna kepada aplikasi berkenaan, namun ia berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam selepas diumumkan.
Hasil daripada keupayaan teknologi serta inisiatif yang dilaksanakan kerajaan itu, masalah seperti lesen terbang dan pemalsuan dokumen cukai jalan akan dapat diatasi dengan menyeluruh.
Ini kerana setiap data maklumat berkenaan perlu diseragamkan dengan pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pastinya tidak mudah untuk melakukan pemalsuan selepas ini.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, mengoptimumkan kefungsian aplikasi MyJPJ berkenaan akan dapat mengatasi masalah pemalsuan ini kerana ia pastinya dihubungkan terus dengan pangkalan data oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Langkah ini akan dapat mengatasi dua masalah besar berkenaan dan pemalsuan dokumen itu akan sukar untuk dilaksanakan kerana setiap data yang diseragamkan dalam aplikasi berkenaan perlu sama dengan pangkalan data JPJ.
“Ini satu langkah serampang dua mata, selain meningkatkan adaptasi digital negara, kita juga dapat mengurangkan masalah terkait dengan pemalsuan dokumen serta lesen terbang ini.
“Bagaimanapun, apabila berlaku pemusatan data pengguna ini, perkara yang paling penting difikirkan adalah bagaimana tahap keselamatan atau sistem keselamatan simpanan data MyJPJ berkenaan,” katanya.
Siraj berpandangan bahawa perkara berkenaan perlu dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibentangkan secara menyeluruh khususnya berkaitan tentang tahap keselamatan pangkalan data berkenaan.
Beliau berkata, ia sekali gus akan memberi keyakinan paling optimum kepada pengguna atau orang awam melihat ia selamat untuk digunakan.
“Apabila ia membabitkan jumlah data pengguna yang besar, maka saya fikir relevan untuk kita fikirkan bersama tentang tahap keselamatannya kerana ia akan menjadi ‘hotspot’ kepada penggodam.
“Kita di MCCA sememangnya mengutamakan tentang kedaulatan data ini, apabila berlaku pemusatan data, maka ia akan menarik penggodam untuk memecah masuk sistem berkenaan.
“Ini adalah ancaman yang harus difikirkan bersama supaya tidak timbul isu data digodam pada masa depan,” katanya.
Katanya, maklumat pengguna jalan raya ini bernilai tinggi dan ia sekali gus menarik perhatian pihak tidak bertanggungjawab untuk cuba memecah masuk sistem berkenaan.
Menurutnya, integrasi sistem digital ini dilihat akan menjimatkan kos percetakan cukai jalan berkenaan namun ia mewujudkan kos baharu iaitu penyelenggaraan sistem serta lantikan entiti yang akan memantau sistem berkenaan.
“Kami di MCCA menyambut baik langkah berkenaan namun pada masa sama, perlu dititikberatkan isu keselamatan data pengguna,” katanya.