Alpha Zulu Foxtrot
Industri pembangunan permainan begitu berkembang pesat malah dijangka akan menjadi salah satu pendapatan sesebuah negara.
Bagaimanapun, apakah masa depan industri berkenaan di negara ini?
Tidak dapat dinafikan, pembangunan permainan juga turut menyumbang kepada pendapatan sesebuah negara hasil daripada penjualan permainan, kandungan permainan, koleksi kosmetik di dalam permainan dan banyak lagi.
Rekod tahun lalu juga memperlihatkan bahawa ‘gamers’ tempatan berbelanja sekitar RM2.7 bilion untuk pembelian judul permainan serta beberapa kandungan berbayar termasuk ‘gems’ yang ditawarkan dalam sistem perdagangan maya.
Jumlah besar itu dilihat meningkat berbanding 2019 apabila dilaporkan pembelian untuk segmen sama direkodkan sekitar RM2.5 bilion dan peningkatan itu berkait rapat dengan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini sejak dua tahun lalu.
Keadaan berkenaan memberikan isyarat paling jelas bahawa segmen permainan akan terus berkembang seiring dengan teknologi semasa dan ia bukan mengejutkan jika menjadi salah satu pendapatan kepada sesebuah negara.
Infrastruktur latihan dan pembangunan seharusnya dimulakan bermula daripada sekarang untuk memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam bidang baharu ini.
Ia menjadikan negara sebagai salah satu ‘lubuk keuntungan’ pembangunan permainan untuk rantau Asia Tenggara dan kebanyakan pembelian dibuat menerusi tawaran kosmetik sesebuah judul permainan.
Pembelian berkenaan termasuk judul baharu permainan, pembelian kosmetik seperti ‘power up’ serta karektor unik malah pelbagai jenis pembelian di dalam permainan.
Malah, wujud ‘gamers’ tegar yang sanggup berbelanja ribuan ringgit sebulan semata-mata untuk membeli ‘keperluan permainan’ mereka.
Jika melihat kepada skop potensi ekonomi yang lebih besar, industri permainan menjana keuntungan sekitar RM770 bilion dan angka itu akan terus meningkat setiap tahun.
Laporan daripada Newzoo menyatakan bahawa rekod keuntungan untuk industri permainan itu akan mencecah lebih RM800 bilion pada 2023 dan lebih separuh daripada industri berkenaan disumbangkan oleh segmen permainan mudah alih atau ‘mobile gaming’.